SAUDARA PENGARANG,
NEGARA sering dikejutkan dengan kejadian banjir kilat dan limpahan air yang mendatangkan risiko ancaman nyawa dan kerosakan alam sekitar.
Banyak pihak membicarakan tentang kegagalan tadbir urus serta kesedaran awam terhadap kepentingan pengekalan alam sekitar bagi menjamin ekosistem perubahan iklim dan kepesatan pembangunan ekonomi yang banyak mengorbankan kehijauan alam.
Sektor industri dan pembangunan penempatan manusia mendorong kepada penerokaan tanah baharu dan kawasan tadahan. Sistem perparitan yang tidak sistematik menyebabkan limpahan air di kawasan perumahan. Ini menyebabkan penduduk menanggung kerugian kesan kerosakan harta benda.
Persoalannya, adakah tidak wujud kesedaran tentang kepentingan menjaga alam sekitar? Sedangkan ketika di sekolah, kita mempelajari ilmu Geografi walaupun ia sekadar mata pelajaran elektif.
Isu berkaitan alam sekitar disampaikan secara merentas kurikulum dalam semua subjek dengan penggabungan nilai-nilai murni seperti bertanggungjawab dan amanah. Pelajar didedahkan tentang kepentingan mengekalkan kelestarian alam sebagai pengekalan ekosistem habitat alam.
Sekiranya manusia tidak mahu bersahabat dengan alam, pasti satu dunia mengalami kesan buruk akibat kerakusan dan sifat tamak walaupun atas nama pembangunan dan ekonomi.
Jika tidak diawasi dan dibanteras, maka segala keindahan hanya terlukis di kanvas bersama imaginasi kenangan silam. Jika tiada kesungguhan daripada semua pihak untuk memulihara dan memperbaiki kekurangan ini, nescaya generasi masa depan akan lebih terancam kerana kecuaian masyarakat hari ini dalam mengurus khazanah negara.
Kemakmuran dan kesejahteraan negara lebih bermakna jika rakyat lebih peka dan prihatin terhadap kelestarian alam. Kesedaran terhadap pengurusan alam sekitar amat dituntut kepada semua pihak termasuk peranan penting medium pendidikan harus terus menyuburkan sifat tanggungjawab dan amanah kepada pewaris negara.
Langkah seterusnya ialah untuk meningkatkan kesedaran awam terhadap tadbir urus kelestarian alam secara efisien. Ini perlu dilakukan agar kita tidak berputih mata melihat kegagalan dalam mengurus modal insan di sebuah negara yang terkenal dengan nilai budi dan dermawan.-UTUSAN
TUMIN YATMAN
SMK Dato’ Abdul Rahman Andak, Johor