SAUDARA PENGARANG,
ISU pengambilan pekerja Bangladesh sekali lagi menjadi bualan hangat selepas Persatuan Agensi Pengambilan Antarabangsa Bangladesh (Baira) mendakwa terdapat unsur monopoli syarikat ejen.
Baira sebelum ini berkata, 10 agensi pilihan Malaysia memonopoli pengambilan pekerja antara 2016 dan 2018.
Jika kerajaan melayan tuntutan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu untuk membenarkan lebih banyak syarikat ejen pembekal pekerja, maka akan wujud kemungkinan terjadi lambakan pekerja Bangladesh di negara ini.
Apabila tuntutan Baira tidak dilayan, kerajaan pula dituduh membiarkan monopoli syarikat tertentu. Ada syarikat ejen yang mengambil kesempatan mengenakan caj melampau tinggi sehingga wujudnya dakwaan elemen buruh paksa kerana pekerja berhutang untuk bekerja di negara ini.
Justeru, mengapa tidak mencari alternatif negara lain untuk mengelak masalah penganiayaan migran yang merosakkan reputasi negara serta menyebabkan kita terkena sekatan perdagangan?
Usah ditambah lagi bilangan pekerja Bangladesh yang sudah terlalu banyak sehingga mendominasi sektor ekonomi dengan membuka pelbagai jenis perniagaan.
Jumlah imigran Bangladesh bakal meningkat secara mendadak jika pendatang asing tanpa izin (PATI) dari negara itu mendapat permit kerja melalui Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK), Program Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dan pekerja baharu bakal masuk ke negara dalam masa terdekat.
Oleh itu, satu alternatif baharu dengan mencari sumber pekerja dari negara lain yang kurang memberi masalah perlu dilakukan. Urusan perlu secara kerajaan dengan kerajaan (G2G) untuk mengelak syarikat ejen mengambil kesempatan.
Kita boleh mengambil pekerja dari Kemboja dan Selatan Thailand serta Timor Leste sebagai alternatif.-UTUSAN
MOHD. ZUL
Kuala Lumpur