Ibadah korban manifestasi sifat syukur kepada Allah

Ibadah korban manifestasi sifat syukur kepada Allah

IBADAH korban adalah sangat dituntut pada mereka yang berkemampuan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

ZULHIJAH bukan asing bagi umat Islam kerana pada bulan ini disebutkan sebagai pelaksanaan ibadah haji. Dalam bulan ini, bagi umat Islam yang tidak mendapat jemputan sebagai tetamu Allah SWT ke tanah suci Mekah, pasti akan menyambut Hari Raya Aidiladha.

Korban walaupun pada dasar hukumnya adalah fardu kifayah, ia sangat dituntut untuk yang berkemampuan. Namun, secara hakikatnya ia adalah ibadah sangat-sangat dituntut untuk dilaksanakan pada setiap tahun.

Dalam erti kata lain bahawa umat Islam yang ada kemampuan sama sekali tidak boleh meninggalkan daripada melaksanakan ibadah korban. Hal ini ada kaitan dengan satu keterangan daripada Nabi SAW yang menyebutkan tentang keperluan berkorban setiap tahun.

Maksudnya: “Sesiapa yang diberikan kelapangan daripada hartanya, namun tidak mahu melaksanakan (ibadah) korban, maka jangan sekali-kali mendekati tempat solat kami.” (Hadis riwayat Ahmad dan Ibn Majah)

Hadis ini sangat kasar bunyinya kerana seolah-olah pelaksanaan ibadah korban itu wajib kepada setiap orang yang berkemampuan hartanya. Bahkan jika difikirkan kembali, keterangan daripada ayat al-Quran jelas menunjukkan kepada perbuatan yang sangat dituntut untuk dilaksanakan.

Firman Allah SWT dalam surah al-Kausar ayat 2 yang bermaksud: “Oleh itu, kerjakanlah solat kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).”

Banjir

Pada tahun ini, kita semua berada dalam fasa yang banyak ujian dan cubaan. Fasa wabak Covid-19 yang menyebabkan banyak kematian, bencana alam seperti banjir besar dan tanah runtuh yang menghilangkan banyak harta dan benda, sedang kita masih berada pada keadaan senang dan selamat daripada semua itu.

Dengan pertolongan daripada Allah SWT, kita masih diberikan kesempatan untuk meneruskan kehidupan, bahkan kita juga masih ada harta yang memberi kesenangan.

Maka dalam situasi ini amat wajar untuk kita menunjuk manifestasi syukur kepada Allah SWT dengan melaksanakan ibadah korban atas segala nikmat kesenangan, keselamatan dan segala kemudahan yang ada dalam menjalani kehidupan selepas segala fasa kesusahan dan kepayahan yang dihadapi sebelum ini.

Semoga usaha ini mendapat kelebihan yang dijanjikan Allah SWT yang bermaksud:

“Daging-daging (haiwan korban) dan darahnya itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi ketakwaan daripada kamulah yang dapat mencapainya. Demikianlah Allah telah menundukkannya untuk kamu supaya mengagungkan Allah terhadap hidayahnya kepada kamu. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang berbuat baik.” (Surah al-Hajj, ayat 37) – UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. KHADHER AHMAD
Universiti Malaya (UM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN