Teruskan semangat belajar selepas SPM

Teruskan semangat belajar selepas SPM

KEPUTUSAN Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) merupakan langkah awal untuk seseorang meneruskan pembelajaran sepanjang hayat demi mencapai kejayaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

ANALISIS pencapaian dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tentunya menjadi kayu ukur kepada kementerian dan pihak-pihak lain yang berkepentingan untuk menilai sejauh mana keberhasilan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) di sekolah terutama impak diberikan oleh penambahbaikan kurikulum tersebut.

Selalunya isu klise membabitkan calon SPM adalah mengenai pilihan jurusan bagi menyambung pengajian tinggi. Topik sebegini adalah lebih rapat dengan khalayak kerana melibatkan kemampuan pendidikan tinggi dalam mengubah tahap dan status sosioekonomi seseorang.

Namun demikian, ada satu lagi aspek signifikan dengan keputusan SPM ini yang jarang disentuh.

Benar, keputusan SPM seolah-olah menjadi penentu mutlak langkah seterusnya dalam proses pembelajaran secara formal, namun kualiti kehidupan seseorang bukan ditentukan oleh sekeping sijil akademik yang diterima kelak.

Apa yang lebih penting adalah sejauh mana kita membina dan memperoleh sebentuk kemahiran yang ketinggian nilainya turut diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) melalui Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai antara elemen penentu dalam pembangunan sesebuah masyarakat.

Kemahiran yang dimaksudkan ialah pembelajaran sepanjang hayat.

Bentuk pendidikan formal sama ada di sekolah, kolej, universiti dan lain-lain adalah terhad kepada objektif penubuhan dan misi pelaksanaan kurikulum yang diguna pakai. Seseorang yang mempunyai kemahiran pembelajaran sepanjang hayat bukan hanya akan membantu membina masyarakat melalui pengetahuan dan kemahiran khusus diterimanya semasa merentasi pendidikan formal, malah mampu menyumbang lebih lagi.

Dengan adanya kemahiran ini, sifat positif seperti kepimpinan, integriti, proaktif, penyelesai masalah dan kemampuan bekerja dalam pasukan akan terserlah. Keserlahan ini bukan sahaja memberi kesan jangka pendek kepada individu terlibat, malah mampu mencambah sifat serupa kepada ahli masyarakat lain di dalam komuniti sama.

Namun, ia memerlukan beberapa syarat khusus iaitu keperluan kepada ilmu dan semangat yang betul.

Oleh itu, walau apa pun keputusan diterima, sama-samalah kita mendoakan agar langkah setiap daripada calon SPM 2021 tidak terhenti di sini sahaja. Teruskan melangkah menimba ilmu walau di mana sahaja demi mencapai kemahiran pembelajaran sepanjang hayat yang dikenal pasti mampu menjamin kelangsungan masyarakat yang berilmu, berdaya saing dan berdikari.-UTUSAN

PROFESOR MADYA R. NAHRIZUL ADIB KADRI
Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya