Semakin banyak import, semakin lemah ringgit - Utusan Malaysia

Semakin banyak import, semakin lemah ringgit

MELALUI pelan komprehensif yang baik akan merancakkan pengeluaran makanan tempatan, menjamin keselamatan makanan, mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sekali gus memperlahan kesan pemanasan global.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

Umum mengetahui, salah satu sektor yang paling terkesan dek pandemik Covid-19 ialah sektor ekonomi termasuk kenaikan harga barang atau lebih dikenali sebagai inflasi.

Untuk rekod, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kadar inflasi negara pada April 2022 meningkat 2.3 peratus berbanding April 2021.

Selain itu, pada Mac lalu, dunia terpaksa berhadapan krisis makanan yang meruncing sejak berdekad lamanya berikutan pencerobohan Russia ke atas Ukraine sehingga menyaksikan harga ayam melonjak setinggi RM15 sekilogram meskipun kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menetapkan harga siling jualan sebanyak RM8.90.

Kenaikan berterusan dalam inflasi harga makanan ini juga menjejaskan kuasa beli dan pendapatan M40 dan B40 yang masih bergelut dengan kesan pandemik Covid-19.

Justeru, sebagai langkah jangka pendek, mulai 1 Jun lalu, kerajaan mengurangkan eksport ayam yang mencecah 3.6 juta ekor setiap bulan demi menstabilkan pengeluaran dan harga domestik.

Sungguhpun begitu, sekiranya permasalahan kekurangan bekalan ayam ini disingkap secara holistik, kita bakal menyaksikan permasalahan lebih membarah terhadap struktur industri pertanian negara yang bergantung tinggi kepada makanan import.

Meskipun Malaysia kaya dengan sumber asli termasuk tanah yang subur untuk pertanian, menurut DOSM, hanya 19 barang makanan berjaya merekodkan nisbah mampu diri (SSR) melebihi 100 peratus pada 2020 berbanding 25 peratus pada 2019.

Masalah ini semakin meruncing dengan kejatuhan nilai ringgit. Pada 1 Januari 2022, AS$1 bersamaan RM4.18. Dan belakangan ini, ringgit melemah kepada hampir RM4.40.

Disebabkan itu, penternak ayam perlu menyerap kenaikan kos hampir setengah kali ganda untuk mengimport bahan mentah. Natijahnya, semakin banyak import kita, lebih banyaklah ringgit yang mengalir keluar dari negara ini. Semakin ‘deras’ pengaliran keluar mata wang kita, kedudukan ringgit akhirnya bakal melemah.

Di samping itu, Indeks Keselamatan Makanan Global 2021 oleh The Economist Group meletakkan Malaysia di kedudukan ke-39, jauh di belakang Ireland (pertama), United Kingdom (ketiga), Finland (keempat) dan Belanda (keenam).

Justeru, kita memerlukan penggemblengan tenaga dan kerjasama strategik di antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri demi memanfaatkan khazanah alam selain memanfaatkan bangunan terbiar bagi mengusahakan pelbagai jenis tanaman terutama sayur-sayuran.

Sudah tiba masanya kita mengoptimumkan penggunaan teknologi pertanian seperti pertanian pintar, pertanian jitu dan pertanian menegak yang dipacu oleh era internet kebendaan (IoT), data raya dan kecerdasan buatan (AI).

Selain itu, kita juga perlu mengatasi antara permasalahan terbesar dalam industri pertanian negara iaitu kebergantungan kepada tenaga kerja asing dan kadar penglibatan golongan belia yang rendah (hanya 15 peratus daripada 1.4 juta belia di negara ini).-UTUSAN

DR. MOHD. ZAIDI MD. ZABRI
Fakulti Perniagaan & Ekonomi
Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.