Risiko ambil bekas tentera asing

Risiko ambil bekas tentera asing

TERUSKAN sahaja dasar sekarang yang hanya membenarkan pengawal keselamatan dari Nepal.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SAYA ingin memberi sedikit pandangan mengenai keputusan kerajaan membenarkan syarikat keselamatan menggaji pengawal keselamatan dari Bangladesh dan Pakistan selain warganegara Nepal yang menjadi amalan sekarang.

Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin baru-baru ini, kerajaan akan membawa masuk kira-kira 60,000 pengawal keselamatan warga asing dari negara-negara terbabit yang menepati kriteria khas ditetapkan untuk memenuhi permintaan sektor keselamatan dalam negara.

Keperluan industri masa kini secara keseluruhannya memerlukan sehingga 150,000 pengawal keselamatan untuk mengisi kekosongan di seluruh negara.

Kerajaan bersetuju untuk membawa masuk 50,000 ke 60,000 pengawal keselamatan warga asing manakala selebihnya akan ditawarkan kepada warga tempatan untuk mengisi kekosongan jawatan itu.

Difahamkan, kerajaan akan memastikan pengawal keselamatan dari Bangladesh, Nepal dan Pakistan memenuhi kriteria ketat yang ditetapkan.

Ini termasuk sihat tubuh badan, tahu undang-undang dan terdiri daripada mereka yang pernah bekerja dengan penguat kuasa atau syarikat keselamatan di negara masing-masing.

Berdasarkan laporan akhbar, Kementerian Dalam Negeri telah berhubung dengan Perdana Menteri dari Nepal, Bangladesh dan Pakistan yang menunjukkan minat untuk menawarkan rakyat masing-masing bagi mengisi kekosongan jawatan tersebut.

Bagi saya, setiap pengawal keselamatan warga asing yang dibawa masuk perlu dipilih dengan teliti supaya memenuhi syarat-syarat ditetapkan sebelum bekerja dengan syarikat keselamatan tempatan.

PALSU

Keputusan sebegini besar tidak perlu dibuat tergesa-gesa selepas mendengar hujah pihak syarikat sahaja kerana tidak sampai setahun dicadangkan terus diluluskan.

Penggajian pengawal keselamatan sama ada rakyat tempatan atau rakyat asing perlu ditapis dengan ketat.

Sudah banyak berlaku perbuatan jenayah melibatkan pengawal keselamatan tidak kira rakyat Malaysia atau asing seperti kes dadah, biadab dan berkelahi dengan orang ramai dan gangguan seksual.

Terdapat juga kes individu yang memohon kerja sebagai pengawal keselamatan menggunakan kad pengenalan palsu dan pelbagai penipuan lain.

Sebelum ini, syarat penggajian rakyat asing dalam sektor keselamatan sudah cukup jelas. Hanya pengawal keselamatan warga Nepal dibenarkan bekerja dengan syarikat kawalan keselamatan swasta berlesen.

Tetapi ada juga syarikat yang saya rasa tidak berlesen berani mengupah pengawal keselamatan haram dari Bangladesh dan Pakistan yang tidak ketahuan permit asal mereka untuk menjaga taman perumahan.

Oleh itu, keputusan kerajaan membenarkan syarikat menggaji pengawal keselamatan dari dua negara ini akan menyebabkan pengawal haram boleh terus bekerja dan menggalakkan syarikat tidak berlesen mengupah lebih ramai warga Bangladesh dan Pakistan kerana keizinan sudah diberikan.

Pada pendapat saya lagi, kalau membawa terlalu ramai rakyat asing yang ada latar belakang bekas tentera untuk bekerja di negara ini sebagai pengawal keselamatan, ia boleh mendatangkan risiko tidak diingini.

Kita tidak mampu untuk mengawal aktiviti pekerja asing lain, inikan pula yang mempunyai kemahiran menggunakan senjata api. Minta dijauh yang dibawa masuk terpengaruh dengan fahaman ekstremis.

Keputusan terbaharu ini perlu dikaji semula secara terperinci atau teruskan dasar sekarang yang hanya membenarkan pengawal keselamatan dari Nepal. – UTUSAN

ABDUL HADI, Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN