SAUDARA PENGARANG,
SAYA amat tidak bersetuju dengan pandangan Pengurus Besar, Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF), Zamakhshari Muhamad dalam dalam sebuah rencana terbitan Utusan Malaysia pada 17 Jun lalu bertajuk Media perlu agresif lindungi industri sawit apabila mendakwa golongan atau kumpulan tertentu termasuk kumpulan hijau digunakan oleh pihak-pihak berkepentingan untuk memburuk-burukan minyak sawit.
Golongan atau kumpulan tertentu termasuk kumpulan hijau iaitu pertubuhan berasaskan alam sekitar manakah yang didakwa olehnya?
Dakwaan Zamakhshari yang agak keterlaluan tanpa bersandarkan asas dan fakta seolah-olah menunding dan memberi perspektif negatif terhadap pertubuhan alam sekitar (NGO) di Malaysia.
Zamakhshari perlu bertanggungjawab terhadap kenyataannya serta perlu telus dan berani menamakan golongan atau kumpulan tertentu termasuk kumpulan hijau yang dimaksudkan. Jangan sekadar serkap jarang apabila mengeluarkan kenyataan.
Dakwaan mengaitkan ladang kelapa sawit dengan kemusnahan hutan mempunyai asas dan tidak boleh dinafikan bersandar kepada salah satu kajian akademik. Sila rujuk sejarah Journal of History Department, University of Malaya dan Peta Guna Tanah yang diterbitkan oleh Bahagian Pengurusan dan Pemuliharaan Sumber Tanah, Jabatan Pertanian Semenanjung Malaysia.
Kemusnahan hutan untuk tujuan ladang kelapa sawit bukan hanya mengancam populasi Orang Utan terutama di Indonesia tetapi juga mengancam populasi hidupan liar lain terutama mamalia besar seperti gajah, beberapa spesies harimau, badak sumatera, tapir dan lain-lain spesies di Semenanjung Malaysia.
Oleh itu, adalah diharap Pengurus Besar MPOGCF lebih berhati-hati apabila menulis dan mengeluarkan kenyataan yang boleh memberi sudut pandang atau perspektif negatif terhadap NGO berasaskan alam sekitar di Malaysia.-UTUSAN
MEOR RAZAK MEOR ABDUL RAHMAN
Aktivis Alam Sekitar