Perkasa wakaf bantu tangani sekuriti makanan

Perkasa wakaf bantu tangani sekuriti makanan

MEMAJUKAN tanah wakaf adalah salah satu cara dalam
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KRISIS sekuriti makanan yang melanda negara memberi banyak kesan kepada rakyat. Perkara ini menjadi tumpuan utama dalam titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menitahkan supaya ia ditangani segera.

Seri Paduka turut menitahkan agar satu pelan jangka panjang dirangka untuk mengukuhkan sekuriti makanan dan menjamin kos sara hidup berada pada tahap bersesuaian.

Keadaan bertambah buruk dengan kenaikan harga barang makanan dan keperluan harian. Kegagalan menanganinya memberi kesan buruk kepada rakyat terutama yang berpendapatan rendah. Situasi ini disebabkan negara terlalu bergantung pada import bahan makanan.

Hal ini bertepatan dengan titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah baru-baru ini agar memberikan perhatian serius terhadap ancaman keselamatan bekalan makanan dengan mengaktifkan sektor pertanian, ternakan dan perikanan.

Baginda menyatakan, sektor-sektor ini amat perlu diperkenalkan menerusi budaya kerja dan pengeluaran baharu dengan menyuntik kaedah dan mekanisme moden supaya produktiviti bahan makanan dapat segera ditingkatkan.

Melihat keadaan ini, konsep wakaf boleh dijadikan satu alternatif membantu sekuriti makanan negara serta menambah produktiviti dengan membangun tanah wakaf di kawasan terbiar.

Tanah wakaf di seluruh negara dikatakan masih banyak belum dimajukan sepenuhnya. Tanah-tanah wakaf yang dikenal pasti di bawah bidang kuasa Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) boleh dibangunkan bersama kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.

Institusi wakaf khususnya anak syarikat di bawah MAIN boleh membangunkan tanah-tanah wakaf dengan aktiviti pertanian berskala besar bagi memenuhi keperluan sumber makanan negara. Pertanian dan penternakan moden boleh dijalankan melalui usahasama dan bimbingan pakar-pakar pertanian daripada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.

Jika dapat direalisasikan, ia mampu menyumbang bekalan makanan negara domestik sekali gus dapat meningkatkan potensi penjanaan pendapatan kepada MAIN.

Semoga pihak yang bertanggungjawab dapat memberi perhatian serius agar tanah wakaf terbiar boleh dimajukan sebagai projek wakaf pertanian, penternakan mahupun perikanan sebagai usaha membantu negara meningkatkan pengeluaran domestik, mengurangkan kebergantungan keperluan import, meningkatkan produktiviti dan menjamin sekuriti makanan negara.-UTUSAN

MOHD. YAKOP IKRAM
Ipoh, Perak

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya