SAUDARA PENGARANG,
MALAYSIA kini melalui fasa transisi pandemik kepada endemik Covid-19 bermula 1 April lalu. Menurut Jabatan Statistik Negara, sebahagian besar institusi perniagaan di Malaysia atau 97.4 peratus tergolong dalam sektor industri kecil sederhana (IKS).
Namun begitu, industri makanan dan minuman hanya merupakan satu peratus. IKS merupakan penyumbang besar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 38.2 peratus atau RM512.8 bilion pada 2020. Justeru, IKS boleh dikatakan sebagai tulang belakang ekonomi negara.
Tinjaun SME Bank mengenai pemasaran media sosial dalam kalangan IKS didapati kurang ekoran kekurangan sumber dan kepakaran. Hanya 64 peratus syarikat tempatan menggunakan media sosial sebagai saluran pemasaran.
50 peratus industri makanan dan minuman gagal bertahan dalam pasaran lebih dari lima tahun. Antaranya disebabkan kurang penggunaan media sosial dalam pemasaran.
Terdapat banyak kelebihan penggunaan media sosial seperti penglibatan pelanggan, tanggapan baik terhadap jenama, niat terhadap penggunaan jenama, peletakan pasaran, akses segera ke pasaran dan capaian dan liputan pasaran yang besar.
Justeru, media sosial mempunyai potensi untuk digunakan sepenuhnya sebagai saluran pemasaran dan penjenamaan.
Dapatan kajian kami juga membuktikan bahawa ekuiti jenama terdiri daripada kesedaran jenama, perkaitan jenama dan persepsi kualiti. Kesetiaan jenama juga amat penting dalam IKS terutama industri makanan dan minuman kerana dapat meningkatkan kesedaran dan kepercayaan pelanggan, meningkatkan jumlah jualan dan pengulangan pembelian serta meningkatkan kepuasan pelanggan.
Kepuasan pelanggan adalah penting bagi kedayasaingan syarikat yang mana dapat membantu sesebuah organisasi untuk mampan. Justeru, ulasan dan maklum balas daripada orang berpengaruh adalah amat penting bagi memajukan jenama.
Media sosial mempunyai potensi dan merupakan kunci kejayaan bagi IKS untuk maju ke hadapan. IKS jangan melepaskan peluang keemasan ini bagi memastikan syarikat mereka dapat melonjak naik dalam pasaran selepas bergelut selama dua tahun berturut-turut akibat pandemik Covid-19. Liputan media sosial adalah lebih menyeluruh kerana boleh dilakukan setiap masa selain lebih jimat.
Sehubungan itu, ekuiti jenama akan meningkat dan keuntungan dapat diraih serta kerugian dapat ditampung. Seterusnya, kedayasaingan dan kelestarian syarikat pasti dapat dicapai.-UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. ILHAAMIE ABDUL GHANI AZMI
Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya