SAUDARA PENGARANG,
SUDAH sampai masanya Malaysia mengambil langkah proaktif bagi memastikan segala maklumat ataupun berita yang disalurkan kepada rakyat tidak terdedah dengan sebarang tuduhan berat sebelah.
Ini bagi memastikan berita yang disampaikan adalah seimbang, diyakini dan boleh digunakan tanpa rasa ragu atau syak wasangka.
Kerajaan boleh mempertimbangkan untuk mewujudkan satu bentuk perundangan baharu dan khusus bagi mengekang sebarang jenis tuduhan ataupun penyebaran berita tidak seimbang atau berat sebelah.
Tidak dapat dipastikan punca sebenar kenapa penyebaran berita berat sebelah ini berlaku. Namun, sekiranya tidak dibendung dari awal, boleh mengundang bahaya sama seperti penularan berita tidak benar kerana bersifat berat sebelah, tidak adil dan profesional serta mengundang diskriminasi.
Berita berat sebelah ini juga boleh menjejaskan keharmonian dan keamanan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.
Tuduhan ataupun penyebaran berita berat sebelah ini juga boleh menjejaskan kredibiliti atau nama baik para wartawan serta pengamal media.
Dengan adanya Akta Anti Berita Berat Sebelah, segala tuduhan melibatkan berita berat sebelah dapat disiasat dengan lebih baik dan teliti. Tindakan bersesuaian juga boleh diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah sama ada melakukan penyebaran berita berat sebelah ataupun mengemukakan tuduhan palsu terhadap pengamal media.
Tidak beberapa lama dahulu, kerajaan pernah mengambil usaha untuk mewujudkan dan melaksanakan Akta Anti Berita Tidak Benar, namun tidak mendapat sambutan baik serta terdedah serangan politik.
Kerajaan boleh mengambil usaha dengan merangka satu bentuk perundangan bagi mewujudkan akta baharu bagi menggantikan Akta Anti Berita Tidak Benar dengan Akta Anti Berita Berat Sebelah pula.
Kerajaan boleh mewujudkan sebuah jawatankuasa terdiri daripada pakar-pakar dalam industri media, peguam, akademik undang-undang, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan dan lain-lain lagi bagi mengkaji cadangan ini dengan lebih teliti sebelum mengambil sebarang keputusan muktamad.-UTUSAN
DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW
Fakulti Syariah & Undang-Undang
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)