KOTA TINGGI: Kira-kira 80 peratus atau 120 hektar daripada keseluruhan 150 hektar kawasan kebakaran hutan di Punggai, Pengerang dekat sini berjaya dipadamkan, setakat pukul 1 tengah hari tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Siti Rohani Nadir berkata, operasi masih giat dilakukan anggota melibatkan kawasan seluas 30 hektar.
“Keadaan cuaca panas dan kering serta tiupan angin kuat menjadi antara faktor utama kebakaran cepat merebak ke kawasan sekitar termasuk menghampiri penempatan penduduk.
“Api masih marak membakar pokok dan belukar kering dengan asap tebal serta tinggi sehingga menjejaskan jarak penglihatan di laluan Lebuhraya Bypass Punggai menghala ke Sebana Cove,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Siti Rohani berkata, seramai 42 anggota bomba dibantu Angkatan Pertahanan Awam (APM), Majlis Perbandaran Pengerang (MPP), Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) dan wakil pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) sedang giat melaksanakan operasi melalui dua kaedah iaitu direct attack dan total flooding.
“Turut dilaksanakan adalah pembinaan fire break bagi menghalang api daripada terus merebak. Operasi akan dibuat sehingga api berjaya dipadamkan sepenuhnya, bagaimanapun tempoh masa bergantung kepada keadaan cuaca dan faktor angin.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak menghampiri kawasan kebakaran serta mematuhi arahan pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan semua pihak terjamin,” katanya. – UTUSAN










