Kanak-kanak imigran punca sawit diboikot - Utusan Malaysia

Kanak-kanak imigran punca sawit diboikot

PERLU dielakkan kanak-kanak membantu ibu bapa bekerja di ladang-ladang kelapa sawit. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PADA 2021, bermulanya Kesatuan Eropah memboikot keseluruhan produk minyak kelapa sawit yang dikeluarkan oleh Malaysia.

Pemboikotan minyak kelapa sawit dan produk keluaran Felda Global Ventures Holdings (FGV) Berhad turut dilaksanakan oleh Amerika Syarikat (AS) pada 2020. Antara alasannya ialah wujud buruh kanak-kanak di ladang-ladang kelapa sawit di Sabah.

Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia pada 2020, Kesatuan Eropah merupakan pengimport utama kelapa sawit dari negara ini iaitu RM11,267 bilion diikuti oleh AS sebanyak RM3,381 bilion.

Pelbagai manfaat produk daripada minyak kelapa sawit menjadikan Malaysia sebagai negara kedua terbesar pengeksport kelapa sawit di dunia. Bagaimanapun, isu buruh kanak-kanak ini mewujudkan tanggapan negatif pihak antarabangsa terhadap negara ini.

Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) menerangkan istilah buruh kanak-kanak yang bermaksud suatu pekerjaan yang menghalang seseorang itu menikmati zaman kanak-kanak mereka.

Dakwaan buruh kanak-kanak bekerja di ladang-ladang kelapa sawit terutamanya di Sabah dibidas oleh kerajaan kerana tuduhan yang dilontarkan oleh pihak antarabangsa adalah bersandarkan pada data dan sumber maklumat tidak tepat.

Bagi mengatasi isu ini, kerajaan telah melaksanakan strategi bagi mencegah eksploitasi buruh kanak-kanak. Antara syarat kelayakan untuk syarikat-syarikat pengusaha ladang kelapa sawit mendapatkan pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) adalah mengutamakan keselamatan kanak-kanak di ladang mereka.

Selain menjalankan kajian menyeluruh di ladang-ladang kelapa sawit, kerajaan juga turut menyediakan talian terus sebagai satu mekanisme bagi menyalurkan aduan jika berlakunya sebarang kes yang melibatkan buruh kanak-kanak.

AHLI AKADEMIK

Kementerian dan agensi-agensi kerajaan turut melaksanakan beberapa siri sesi libat urus seperti penerangan dan dialog guna tenaga di sektor perladangan kelapa sawit yang bertujuan memberi kesedaran dan kefahaman kepada pihak pemain industri mengenai buruh kanak-kanak dan amalan perburuhan yang baik.

Kerajaan juga menggunakan televisyen dan radio sebagai medium untuk memberi kesedaran kepada rakyat berkaitan pemerdagangan manusia dan buruh paksa kanak-kanak.

Keterlibatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) domestik mahupun antarabangsa serta ahli akademik tempatan dalam menjalankan kajian dan menghasilkan laporan berkaitan isu buruh kanak-kanak ini dapat membantu dalam mendedahkan situasi sebenar.

Tidak dinafikan terdapat kanak-kanak imigran yang bekerja di ladang-ladang kelapa sawit. Mereka ini menolong ibu bapa dan bukannya sebagai buruh paksa.

Dalam pada itu, terdapat kanak-kanak yang bersekolah namun masih membantu ibu bapa mereka melakukan pekerjaan di ladang kelapa sawit selepas waktu persekolahan. Persepsi yang mengaitkan bahawa kanak-kanak imigran ini tidak bersekolah juga adalah tidak tepat.

Terdapat pusat pembelajaran ditubuhkan oleh NGO sebagai alternatif kepada kanak-kanak ini yang tidak mempunyai akses untuk mendapatkan pendidikan di sekolah awam.

Pusat pembelajaran yang disediakan ini merangkumi peringkat sekolah rendah hingga ke peringkat sekolah menengah yang ditubuhkan di dalam lingkungan persekitaran ladang-ladang kelapa sawit.

Maka jelaslah, terdapat bukti usaha kerajaan serta penyertaan NGO dalam memainkan peranan masing-masing bagi membanteras buruh kanak-kanak yang bekerja di ladang kelapa sawit. – UTUSAN

SITI FAHLIZAH PADLEE dan KHAIRIL LIZA MOHD. SALLEH,  Pegawai Penyelidik Bahagian Penyelidikan dan Perpustakaan, Parlimen Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya