Jenama semula sektor 3D dengan gaji setimpal - Utusan Malaysia

Jenama semula sektor 3D dengan gaji setimpal

BELIA adalah tiga kali ganda lebih terkesan dengan pandemik Covid-19 berbanding golongan dewasa. – GAMBAR HIASAN/ZULHANIFA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

ISU kekurangan pekerja di restoran mamak boleh dianggap sangat kritikal kerana terpaksa bergantung sepenuhnya kepada pekerja asing.

Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) sendiri mengakui pekerja tempatan tidak berminat bekerja di situ disebabkan sektor restoran mamak dianggap 3D (kotor, bahaya dan sukar).
Untuk mengatasi isu ini, saya berpendapat usaha penjenamaan semula sektor 3D ini perlu dipergiatkan.

Penjenamaan ini perlu secara berterusan dengan penawaran gaji setimpal bagi menarik minat golongan belia untuk bekerja di sektor yang sebelum ini dipelopori tenaga buruh asing.

Penawaran gaji setimpal adalah penting kerana tinjauan oleh sekumpulan penyelidik di Universiti Putra Malaysia (UPM) mendapati belia inginkan upah yang berpatutan dengan kelayakan bagi membolehkan mereka berhadapan dengan peningkatan kos sara hidup pascapandemik Covid-19.

Gaji setimpal itu adalah perlu bagi membolehkan mereka memiliki kediaman sendiri terutama dalam kalangan keluarga muda yang baru mendirikan rumah tangga.

Melihat kepada keadaan pasaran pekerjaan semasa di Malaysia, Statistik Tenaga Buruh Suku Pertama 2022 mendapati kadar pengangguran menyusut kepada 4.1 peratus berbanding 5.3 peratus pada fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mei 2020.

Daripada perangkaan itu, sejumlah hampir 502,000 belia berusia antara 15 hingga 30 tahun masih memerlukan pekerjaan. Ini menunjukkan golongan belia merupakan kelompok yang turut terkesan setelah berlakunya pandemik Covid-19.

Menurut Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), golongan belia di peringkat global adalah tiga kali ganda lebih terkesan dengan pandemik itu berbanding golongan dewasa.

Oleh itu, lebih banyak syarikat korporat harus menyediakan latihan, pengalaman dan peluang pekerjaan kepada belia khususnya dalam industri berorientasikan pendigitalan kerana ia bukan menawarkan pekerjaan makan gaji semata-mata sebalik membolehkan mereka mencipta peluang pekerjaan sendiri setelah mahir. – UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. MOHD. MURSYID ARSHAD, Universiti Putra Malaysia (UPM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN