SAUDARA PENGARANG,
BARU-BARU ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengumumkan kerajaan bersetuju memansuhkan hukuman mati mandatori dengan hukuman gantian tertakluk budi bicara mahkamah sebagai usaha menambah baik sistem keadilan jenayah negara.
Malaysia ketika ini memperuntukkan hukuman mati melibatkan 32 kesalahan di bawah lapan akta berbeza. Daripada jumlah ini, sebanyak 11 kesalahan memperuntukkan hukuman mati mandatori termasuk menculik dan aktiviti keganasan.
Seksyen 277 Kanun Acara Jenayah menyatakan bahawa apabila individu dijatuhkan hukuman mati, hukuman harus mengarahkan dia digantung di leher sehingga mati.
Saya berpendapat perlu dikekalkan hukuman mati mandatori khusus bagi penjenayah yang melakukan kesalahan berat seperti membunuh dan mengedar dadah.
Langkah ini penting bagi mengekang penjenayah daripada melakukan jenayah berat dalam negara kita.
Pada masa sama, ia adalah untuk memberi keadilan yang sepatutnya kepada mangsa dan ahli keluarga mereka sesuai dengan prinsip setiap nyawa harus dibalas dengan nyawa.
Jenayah berat seperti membunuh dan mengedar dadah tidak boleh dipandang ringan kerana impak serius yang dibawanya kepada mangsa, ahli keluarga, masyarakat dan negara.
Kerajaan harus memastikan pematuhan undang-undang sentiasa berada pada tahap maksimum dengan mengenakan hukuman berat.
BANTAH
Jika hukuman ringan dikenakan untuk setiap jenayah berat, ia sudah pasti tidak akan memberi sebarang kesan ketara untuk menghentikan kegiatan jenayah berkenaan.
Hukuman sedemikian sudah tentu tidak akan membawa keadilan yang sewajarnya kepada mangsa dan ahli keluarga mereka.
Oleh yang demikian, adalah penting kerajaan menilai semula persetujuan untuk memansuhkan hukuman mati mandatori khususnya yang berkaitan dengan jenayah berat.
Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan bahawa tiada seorang pun boleh diambil nyawa atau dilucutkan kebebasan dirinya kecuali mengikut undang-undang.
Melalui peruntukan Perlembagaan Persekutuan ini, sistem perundangan negara kita dibenarkan untuk melaksanakan sebarang jenis hukuman termasuk hukuman mati ke atas kesalahan-kesalahan jenayah tertentu.
Dalam pada itu, cadangan pemansuhan hukuman mati di Malaysia sudah lama dibuat. Ada pihak yang menyokong pemansuhan dan ada pula yang membantahnya.
Oleh itu, adalah penting kerajaan mengkaji cadangan pemansuhan hukuman mati mandatori ini dengan teliti sebelum mengambil sebarang keputusan akhir mengenainya.
Perlu diwujudkan satu jawatankuasa khas bagi mengkaji cadangan pemansuhan ini dengan mendapatkan pandangan pakar undang-undang dan prosedur jenayah seperti hakim, peguam, ahli akademik, bijak pandai agama dan individu berkepentingan seperti ahli keluarga mangsa jenayah. – UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)