Jadikan krisis Sri Lanka sebagai pengajaran

Jadikan krisis Sri Lanka sebagai pengajaran

MEMPERKASAKAN semula sektor pertanian secara proaktif dapat menjamin keselamatan makanan negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KRISIS di Sri Lanka bermula sejak pandemik Covid-19 melanda dan tindakan kerajaannya mengharamkan import baja tanaman bukan organik pada tahun lalu memberi kesan negatif kepada usaha pengeluaran makanan sekali gus menyebabkan negara itu menghadapi krisis makanan.

Krisis ekonomi yang melanda menyebabkan ramai rakyat turun ke jalanan untuk melakukan protes terhadap kerajaan sehingga menyebabkan Presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa mengumumkan darurat setelah ratusan orang awam cuba menyerbu kediaman beliau.

Malaysia perlu mengambil iktibar daripada krisis yang berlaku di Sri Lanka.

Pelaksanaan dasar ekonomi yang lemah akan menyebabkan berlaku ketidakstabilan politik.

Antara langkah boleh diambil oleh kerajaan untuk menjamin keselamatan makanan negara ialah memperkasakan semula sektor pertanian secara proaktif.

Negara perlu berdikari dan mengurangkan kebergantungannya kepada barangan import khususnya yang berkaitan dengan bekalan makanan.

Selain itu, kerajaan juga perlu berusaha mengukuhkan nilai mata wang negara. Usaha ini perlu supaya dapat mengurangkan kos import sekali gus memastikan kadar inflasi negara di paras stabil.

Kerajaan juga perlu bijak mengurus hutang negara. Amalan hidup di luar kemampuan dan beban hutang yang tinggi berpotensi menjejaskan ekonomi negara.

Kerajaan perlu memastikan segala projek mega yang dirancang produktif dan memberikan pulangan kepada ekonomi negara. Hal ini kerana, Sri Lanka menanggung beban hutang yang tinggi apabila projek infrastruktur yang dijalankan secara besar-besaran pada awal 2000-an gagal memberikan pulangan yang tinggi dan menyebabkan Sri Lanka tidak berupaya untuk membayar semula hutang negara.

Di samping itu, bagi memastikan ekonomi negara stabil, ahli politik perlu berganding bahu membangunkan negara walaupun terdapat perbezaan ideologi politik. Situasi di Sri Lanka bertambah parah apabila ahli politik di sana sama ada kerajaan atau pembangkang terlalu sibuk memperjuangkan kuasa sehingga lupa untuk menyelesaikan masalah ekonomi negara.

Perkara ini penting kerana untuk menangani masalah negara, kesepakatan perlu wujud dalam kalangan ahli politik khususnya pembuat dasar bagi mencari jalan penyelesaian.

Semoga apa yang berlaku di Sri Lanka menjadi pengajaran kepada kita semua khususnya kerajaan bagi memastikan ekonomi negara stabil dan berdaya saing.-UTUSAN

MUHAMMAD SYAKIR IDRIS
Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi
UiTM Pahang Kampus Raub

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN