Cukup-cukuplah perangai suka melenting - Utusan Malaysia

Cukup-cukuplah perangai suka melenting

KESAHIHAN laporan berita sudah menjadi tidak penting dalam dunia maya. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

ORANG Melayu memang terkenal dengan perangai mereka yang suka melenting. Namun kebelakangan, sifat itu tidak terhad kepada orang Melayu. Rata-rata rakyat Malaysia sekarang cepat melenting dan panas baran tanpa usul periksa.

Ambil contoh pengumuman penghapusan subsidi beberapa barangan makanan bermula esok. Apabila frasa ‘penghapusan subsidi’ terpampang sahaja di skrin peranti masing-masing, ditambah ketika ekonomi negara masih bergelora, mekanisme melenting kita diaktifkan secara automatik.

Ramai meroyan terutama di media sosial tanpa peduli kesahihan berita. Yang tukang kipaskan api pun tersenyum lebar mengambil kesempatan menuduh kerajaan tidak sensitif dan kayangan.

Tetapi jika kita baca berita ini dengan lebih teliti, sebenarnya kerajaan telah memperuntukkan RM4 bilion subsidi untuk minyak masak pada tahun ini berbanding RM2.2 bilion pada tahun lepas. Jadi, benarkah kerajaan bersikap kejam terutama kepada golongan miskin?

Kerajaan cuma menghapuskan subsidi minyak masak dalam botol manakala subsidi minyak masak paket masih diberikan. Subsidi minyak masak botol diperkenalkan pada Ogos 2021 dan berkuat kuasa selama tiga bulan sahaja tetapi telah diheret ke 10 bulan sekarang. Adakah ini kerajaan yang tidak berperikemanusiaan?

Mana-mana ahli ekonomi pun tahu bahawa subsidi berpanjangan dan secara besar-besaran hanya akan menjejaskan ekonomi dalam jangka masa panjang.

Untuk sekian lama, kita membenarkan sifat prejudis mengaburi pertimbangan objektif. Bila kita terbaca tajuk berita Subsidi minyak masak dihentikan, kita terus melenting.

Kita seolah-olah gian mengadu dan meroyan walaupun subjek yang dibahaskan tidak berpaksikan kepada realiti ataupun telah diputarbelitkan.

Kesahihan berita atau kebenaran sudah menjadi tidak penting. Yang penting hanya dunia maya yang dipenuhi dengan prasangka kian menebal. – UTUSAN

FIRDAUS ABDUL RAHMAN, Gombak, Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya