Bulan Koperasi iktiraf sumbangan koperasi

Bulan Koperasi iktiraf sumbangan koperasi

PELBAGAI usaha yang diambil oleh pihak kerajaan dalam memastikan sektor koperasi di negara ini terus kekal relevan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PENGUMUMAN Menteri, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar bahawa Kabinet meluluskan untuk menetapkan Julai setiap tahun sebagai Bulan Koperasi merupakan petanda baik kepada gerakan koperasi.

Sambutan Bulan Koperasi atau Hari Koperasi Negara merupakan tanda pengiktirafan kerajaan kepada gerakan koperasi atas peranan dan sumbangan dalam usaha pembangunan sosioekonomi negara.

Di samping itu, ia juga bagi mempromosikan dan menghebahkan kepada masyarakat tentang gerakan koperasi.

Istimewanya tahun ini, buat julung kali negara bakal meraikan 100 tahun usia koperasi sejak mula diperkenalkan pada 1922.

Tema yang dipilih, ‘100 Tahun Gerakan Koperasi, Membangun Keluarga Malaysia’ adalah cukup tepat bagi menggambarkan gerakan koperasi di Malaysia.

Selain itu, kerajaan turut mewujudkan Aspirasi Koperasi Malaysia bagi menggariskan peranan serta tanggungjawab Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Institut Koperasi Malaysia dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) dengan lebih jelas.

Koperasi dilihat sebagai medan terbaik dalam membantu masyarakat terutama golongan B40 atau M40 yang terjejas akibat masalah ekonomi tidak stabil kesan daripada Covid-19. Malah, kepercayaan masyarakat terhadap sektor koperasi semakin bertambah baik.

Berdasarkan data daripada SKM, sehingga 31 Disember 2021 terdapat 14, 834 buah koperasi yang didaftarkan dengan jumlah keseluruhan ahli sebanyak tujuh juta orang.

Kerajaan sentiasa peka dengan permasalahan dan isu-isu yang dihadapi dengan wujudnya beberapa inisiatif seperti Pelan Transformasi Koperasi Malaysia 2021-2025 bagi memastikan sektor koperasi kekal relevan seiring peredaran zaman.

Selain itu, Universiti Keusahawanan dan Koperasi Malaysia bakal beroperasi tidak lama lagi bagi memastikan gerakan koperasi mendapat pendidikan dan latihan secukupnya serta terkini.

Jika dahulu persepsi masyarakat terhadap koperasi hanyalah sebagai tempat untuk mendapatkan bantuan kewangan tetapi hari ini bidang perniagaan koperasi diperluaskan dengan penglibatan perniagaan berimpak tinggi serta adaptasi koperasi dalam digitalisasi.

Hakikatnya, koperasi bukanlah organisasi yang boleh dipandang sebelah mata. Gerakan koperasi turut memainkan peranan di pentas antarabangsa.

Selain itu, gerakan koperasi juga berkembang dengan pesat ke seluruh dunia merentasi benua-benua Asia, Eropah, Amerika dan Afrika.-UTUSAN

AFNAN HASIM
Institut Koperasi Malaysia (IKMa)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya