Bukan semua pesalah mampu bayar diyat - Utusan Malaysia

Bukan semua pesalah mampu bayar diyat

WALAUPUN diyat diperuntukkan sebagai ganti, tidak semua pesalah akan mampu membayarnya kerana nilainya amat tinggi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

LANGKAH kerajaan memansuhkan status mandatori hukuman mati bagi kesalahan tertentu menerima pelbagai reaksi.

Pihak yang menyokong mengatakan ia tidak lagi mengikat hakim, sebaliknya memberi kebebasan untuk membuat pertimbangan menyeluruh berdasarkan kes dihakimi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar telah mengumumkan bahawa hukuman ganti termasuk diyat iaitu ganti rugi kewangan menurut Islam juga akan dikaji dengan lebih lanjut jika sesuai dilaksanakan.

Terlebih dahulu, sistem pengampunan perlu diwujudkan bagi membolehkan waris mangsa dilibatkan dalam membuat keputusan terhadap pembunuh.

Kaedah mengenai pengampunan, jumlah diyat, mekanisme pembayaran, komposisi waris dan sebagainya perlu digubal. Tiga pilihan hukuman diberikan setelah pesalah disabitkan iaitu:

1. Keluarga mangsa boleh memaafkan dan menuntut diyat dibayar oleh pesalah yang disabitkan, jika dia mampu membayarnya secara ansuran atau secara penuh.

2. Keluarga mangsa boleh memaafkan dan menyerahkan kepada hakim untuk menjatuhkan hukuman menurut undang-undang yang ada selain hukuman mati.

3. Keluarga mangsa boleh jika mahu hukuman mati dikenakan menurut undang-undang.

Mengenai nilai diyat pula, rujukan dibuat kepada surat Nabi Muhammad SAW kepada Gabenor Yemen, Muaz ibn Jabal. Baginda mengutuskan senarai dan kadar diyat bagi kehilangan nyawa dan kecederaan diri.

Kadar diyat penuh bagi pembunuhan adalah sama ada 100 ekor unta, 1,000 dinar emas atau 10,000 dirham perak.

Jika mengambil kira nilai bagi 1,000 dinar emas hari ini, standard yang dipakai ialah nilai emas 22 karat (emas 916). Berat satu dinar adalah 4.25 gram.

Jika satu gram emas hari ini bernilai RM300, maka satu dinar emas seberat 4.25 gram adalah menyamai RM1,275. Justeru, kadar 1,000 dinar boleh mencecah RM1.3 juta.

Bagaimanapun, cendekiawan pelbagai bidang boleh membuat ijtihad mengenai jumlah diyat ini dengan mengambil kira faktor ekonomi, kewangan dan sebagainya. Rujukan juga boleh dibuat kepada Compendium for Personal Injuries Awards 2014.

Walaupun diyat diperuntukkan sebagai ganti, tidak semua pesalah akan mampu membayarnya kerana nilainya amat tinggi.

Jika waris mangsa mahu pembunuh dihukum setimpal selain hukuman mati, maka boleh jadi kebanyakan pembunuh akan meringkuk dalam penjara sepanjang hayat. – UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. SITI ZUBAIDAH ISMAIL, Jabatan Syariah & Undang-Undang, Universiti Malaya (UM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.