Parlimen UK lulus usul isytihar Palestine Action sebagai kumpulan pengganas - Utusan Malaysia

Parlimen UK lulus usul isytihar Palestine Action sebagai kumpulan pengganas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Parlimen United Kingdom (UK) pada Rabu telah meluluskan usul untuk mengisytiharkan kumpulan Palestine Action sebagai organisasi pengganas, mencetuskan kebimbangan besar terhadap kebebasan bersuara dan hak untuk membantah secara aman di negara itu.

Usul tersebut diluluskan dengan undian 385 menyokong dan 26 menolak beberapa minggu selepas aktivis Palestine Action menceroboh sebuah pangkalan tentera dan menyembur cat merah pada dua buah pesawat tentera sebagai simbolik bantahan terhadap sokongan berterusan UK terhadap perang Israel di Gaza.

Pengkritik menyifatkan tindakan kerajaan itu sebagai satu langkah melampau yang bakal memberi kesan mendalam terhadap hak bersuara dan kebebasan berhimpun. Kumpulan itu kini diletakkan setaraf dengan organisasi bersenjata seperti al-Qaeda dan ISIS, menjadikan ia satu kesalahan jenayah untuk menyokong atau menjadi sebahagian daripada Palestine Action.

Ahli Parlimen Parti Buruh, Zarah Sultana, berkata menyamakan penyembur cat dengan bom bunuh diri bukan sahaja tidak masuk akal, malah ia satu penyelewengan undang-undang yang amat menjijikkan.

“Ini adalah cubaan terancang untuk menakut-nakutkan suara bantahan, jenayahkan solidariti dan menutup kebenaran,” katanya.

Ketua Eksekutif Amnesty International UK, Sacha Deshmukh turut mengecam tindakan itu sebagai penyalahgunaan kuasa undang-undang yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Beliau berkata proskripsi ini memberi kuasa luas kepada kerajaan untuk menahan, menyekat ucapan, memantau rakyat dan menindas laporan media.

“Gunakan undang-undang seberat ini terhadap kumpulan protes langsung adalah satu penghinaan kepada tujuan asal undang-undang ini diwujudkan,” katanya.

Menurut wartawan Al Jazeera di London, Milena Veselinovic, para penunjuk perasaan yang berkumpul di luar bangunan Parlimen menyatakan tekad untuk terus menyuarakan sokongan terhadap rakyat Palestin walaupun risiko penahanan semakin tinggi.

“Mereka kata mereka akan tetap cari cara untuk menunjukkan solidariti. Malah ada yang berkata jika ditahan sekalipun, itu bukanlah perkara paling buruk,” lapor Veselinovic.

Usul ini kini menunggu kelulusan daripada Dewan Pertuanan (House of Lords) pada Khamis. Jika diluluskan, pengharaman ke atas Palestine Action akan berkuat kuasa dalam tempoh beberapa hari.

Palestine Action menyifatkan keputusan itu sebagai tidak berasas dan penyalahgunaan kuasa dan telah memfailkan cabaran undang-undang terhadap keputusan tersebut. Satu perbicaraan tergempar dijangka berlangsung pada Jumaat ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN