Bahaya penutup servis tiang lampu terdedah - Utusan Malaysia

Bahaya penutup servis tiang lampu terdedah

WAYAR elektrik yang terdedah boleh mengundang bahaya kepada orang ramai. –IHSAN PEMBACA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

MENGIKUT amalan keselamatan, setiap tiang lampu jalan mempunyai penutup servis yang dikunci dengan kemas.

Namun, dalam tinjauan di sekitar bandar raya Shah Alam, saya mendapati begitu banyak penutup servis tiang lampu jalan yang terdedah atau tidak dikunci dengan sempurna seperti lazimnya.

Wayar elektrik yang terdedah boleh mengundang bahaya kepada orang ramai, sementelah sewaktu hujan lebat yang berkemungkinan mengalirkan arus elektrik kepada sesiapa yang menyentuh aset ini. Maut mungkin boleh terjadi.

Pernah berlaku pada 2019, seorang pekerja meninggal dunia akibat terkena renjatan elektrik tiang lampu jalan di Kilometer 16.5, Jalan Ipoh-Kampar dekat Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng, Ipoh.

Dalam pada itu, sejak lebih sebulan lalu, saya ternampak sebatang tiang lampu jalan di Jalan Pahat G15/G, Seksyen 15. Pintu servis untuk aset ini terbuka seperti dalam gambar yang dirakam sendiri oleh saya.

Sejujurnya, saya telah pun membuat aduan kepada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 24 Mei lalu.

Tetapi sewaktu membuat tinjauan pada pagi 1 Jun lalu, pihak berkuasa tempatan (PBT) ini masih belum mengambil apa-apa tindakan positif. Sepatutnya dalam isu keselamatan seperti ini, MBSA mestilah mengambil tindakan serta-merta.

Adalah diharapkan dengan tersiarnya perkara sebegini di ruangan ini, MBSA dapat mengambil tindakan sewajarnya. – UTUSAN

KAMARUDDIN HASSAN, Shah Alam, Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN