Amal pemanduan defensif

Amal pemanduan defensif

KEMALANGAN jalan raya dapat dielakkan sekiranya pemandu lebih berhati-hati dan mengikut segala peraturan yang ditetapkan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BARU-BARU ini banyak kes kemalangan jalan raya berlaku sekali gus dilihat sebagai antara cabaran sukar yang perlu ditangani oleh barisan pimpinan negara memandangkan kadar kemalangan merekodkan jumlah tinggi saban hari.

Namun, pakar percaya kebanyakan kes kemalangan jalan raya dapat dielakkan jika pemanduan defensif menjadi amalan pemandu dan penunggang kenderaan. Ini kerana antara punca kemalangan yang dikenal pasti ialah memandu terlalu laju, memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah, memandu secara semberono dan pemandu kurang cekap.

Berikut antara langkah-langkah bagi mengelakkan berlaku kemalangan jalan raya:

1. Melakukan pemeriksaan secara rawak terhadap kenderaan. Ia perlu dilakukan sebelum dan semasa memandu bagi memastikan perjalanan yang selamat.

2. Melaksanakan servis kereta berkala. Periksa tayar, lampu, penggilap cermin, brek, transmisi, stereng, minyak enjin, paras air dan sistem lain pada kereta supaya sentiasa berada dalam keadaan baik.

3. Berwaspada dengan situasi semasa seperti keadaan trafik, jalan raya berlubang dan hujan bagi mengelak kemalangan. Pastikan anda memandu kenderaan secara perlahan apabila hujan kerana jalan raya yang basah dan licin akan mengurangkan daya cengkaman tayar kenderaan.

4. Jangan memandu dalam keadaan mabuk kerana boleh membuat hilang tumpuan semasa memandu dan mengakibatkan kemalangan. Minta pertolongan teman atau rakan untuk memandu atau gunakan teksi atau kenderaan awam yang lain.

5. Peka terhadap keadaan sekeliling. Sebagai pemandu berhemah, anda perlu sentiasa memberi tumpuan sepenuhnya terhadap pemanduan dan peka terhadap keadaan sekeliling. Pastikan fokus hanya pada jalan raya dan persekitaran serta elak penggunaan telefon bimbit semasa memandu kerana boleh mengalihkan tumpuan pemanduan.

Tujuan peraturan jalan raya adalah untuk melindungi keselamatan pengguna. Oleh itu, kita perlu sentiasa patuh peraturan jalan raya termasuk had laju dan isyarat lalu lintas.
Jangan mementingkan diri sendiri. Nikmati hidup dan orang yang anda sayangi. Kemalangan boleh dielakkan dengan berhati-hati dan mematuhi peraturan jalan raya.-UTUSAN

AHMAD SYAWAL FIRDAUS ABDUL AZISS
Pelajar Ijazah Sarjana Muda
Komunikasi Media Baharu
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN