Terus amalan bekerja dari rumah, penggiliran

Terus amalan bekerja dari rumah, penggiliran

PEKERJA harus dibenarkan bekerja dari rumah jika ia tidak menjejaskan operasi syarikat. – UTUSAN/ MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SEJAJAR dengan pengumuman oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini, Malaysia memasuki fasa peralihan ke endemik bermula 1 April lalu.

Fasa ini bersifat sementara sebelum negara beralih sepenuhnya ke fasa endemik yang hanya boleh diisytiharkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Endemik bermaksud sesuatu penyakit yang sentiasa terdapat di dalam sesebuah kawasan seperti daerah, negeri atau negara pada kadar rendah dan stabil. Contoh penyakit endemik ialah malaria dan denggi.

Fasa peralihan ini juga merupakan strategi keluar daripada pandemik untuk rakyat kembali semula kepada kehidupan hampir normal selepas lebih dua tahun bertarung dengan ancaman Covid-19.

Beberapa kelonggaran diberikan dalam fasa peralihan ini khususnya yang melibatkan tempat kerja.

Antaranya had kapasiti pekerja yang sebelum ini bergantung kepada liputan vaksinasi dimansuhkan.

Walaupun kita berada dalam fasa peralihan ke endemik, majikan dan pekerja perlu memainkan peranan masing-masing untuk memastikan tempat kerja tidak menjadi penyumbang utama kepada peningkatan kes Covid-19.

Selaras dengan Seksyen 15 Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, majikan perlu terus komited menyediakan persekitaran yang selamat termasuk susunan tempat duduk atau stesen kerja perlu terus mematuhi penjarakan fizikal yang bersesuaian dengan kapasiti ruang premis.

Selain itu, ruangan tumpuan pekerja yang sempit perlu disinfeksi secara berkala dan ventilasi serta sistem pengudaraan yang baik disediakan.

Kerajaan juga mengumumkan akan membantu meringankan beban majikan dengan memberikan insentif kepada syarikat yang ingin melakukan pengubahsuaian sistem pengudaraan di pejabat dan tempat kerja.

PENGGALAK

Majikan perlu membantu melaksanakan ujian saringan Covid-19 terutama dalam kalangan pekerja yang bergejala dan menyediakan kit ujian saringan kepada mereka yang sukar mendapatkannya atau tidak berkemampuan.

Majikan digalakkan meneruskan dasar amalan bekerja dari rumah (BDR) atau sistem penggiliran kehadiran ke tempat kerja walaupun ia bukan lagi satu kemestian sekarang ini.

Dasar BDR atau penggiliran kehadiran ke tempat kerja yang jelas, sesuai dengan jenis perniagaan dan pekerjaan serta bersifat mesra pekerja dan adil perlu disediakan tanpa menjejaskan operasi organisasi.

Majikan perlu mempermudahkan proses permohonan cuti kuarantin bagi pekerja yang disahkan positif Covid-19.

Majikan disarankan hanya perlu menerima salinan sijil digital Perintah Pengawasan dan Pemerhatian (HSO) dan Perintah Pelepasan Kuarantin (RO) setelah tempoh isolasi pekerja berakhir.

Tindakan segelintir majikan yang mendesak pekerja mengemukakan notis secara bertulis yang dikeluarkan oleh Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) tidak sepatutnya berlaku.

Dalam pada itu, pekerja digalakkan untuk mendapatkan suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 meskipun tidak diwajibkan untuk diri mereka dan ahli keluarga.

Walaupun dos penggalak bukan jaminan untuk pekerja tidak dijangkiti, namun menurut Kementerian Kesihatan, ia mampu mencegah gejala yang lebih serius dan sudah tentu membantu organisasi membina kelompok imuniti di tempat kerja.

Kejayaan fasa peralihan ke endemik sebahagian besarnya terletak kepada kemampuan mengawal penularan jangkitan Covid-19 di tempat kerja.

Justeru, pihak majikan dan pekerja perlu memainkan peranan masing-masing dalam hal ini agar kita bersedia apabila negara memasuki fasa endemik sepenuhnya pada masa hadapan. – UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. SUBRAMANIAM SRI RAMALU, Universiti Utara Malaysia (UUM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya