Halal: Antara ketegasan dan keuntungan

Halal: Antara ketegasan dan keuntungan

WALAUPUN halal menjadi dasar sukarela di negara ini, namun kerajaan masih mengenakan syarat ketat terhadap pensijilan halal.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

INDUSTRI makanan halal kini berkembang dengan pesat di peringkat global dan Malaysia berdiri sebagai salah satu peneraju pasaran dunia. Industri halal global dianggarkan bernilai AS$2.77 trilion setahun dengan pasaran Malaysia sendiri bernilai AS$9 bilion (hampir RM40 bilion).

Malaysia sangat agresif dalam mempromosikan negara sebagai hab untuk industri halal. Selain membangunkan produk halal tempatan, Malaysia juga bekerjasama dengan syarikat-syarikat antarabangsa dari negara majoriti bukan Islam untuk membantu membangunkan piawaian halal mereka. Ini kerana piawaian persijilan Halal Malaysia menjadi rujukan di seluruh dunia.

Pun begitu, dasar permohonan sijil halal di Malaysia masih bersifat sukarela. Proses mendapatkan sijil halal boleh menjadi sangat mencabar terutama bagi perusahaan bersaiz kecil menyebabkan segelintir peniaga sewenang-wenangnya meletakkan perkataan ‘halal’ pada bungkusan atau di pintu masuk premis demi meyakini pengguna Islam.

Untuk mendapatkan sijil halal, pemilik atau pengendali perniagaan perlu memenuhi semua keperluan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa halal. Akta Perihal Dagangan 2011 digubal dengan tujuan menggalakkan amalan perdagangan yang baik. Kepentingan penggubalan akta ini antara lainnya berpunca daripada kebimbangan terhadap pengeksploitasian penggunaan logo halal oleh pengeluar produk atau premis makanan.

Halal bukan sahaja meliputi proses penghasilan makanan dan produk tetapi juga pengangkutan, penyimpanan serta pemprosesan bahan mentah, penyajian dan peruncitan.

Pelanggaran larangan meletakkan tanda halal sewenang-wenangnya boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali bagi individu untuk kesalahan pertama.

Sementara kesalahan kedua dan berikutnya boleh didenda tidak melebihi RM5 juta atau lima tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertubuhan pula, kesalahan pertama boleh didenda sehingga RM5 juta dan bagi kesalahan kedua dan berikutnya, denda tidak melebihi RM10 juta.

Bagi kesalahan mengeluarkan sijil halal palsu oleh bukan pihak berkuasa berwibawa, boleh dikenakan denda antara RM100,000 hingga RM500,000 dan penjara.-UTUSAN

DR. ZALINA ZAKARIA
Pengarah Pusat Kajian Halal
Universiti Malay

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN