Banduan, tahanan imigresen boleh ganti pekerja asing - Utusan Malaysia

Banduan, tahanan imigresen boleh ganti pekerja asing

PESALAH Imigresen bagi golongan stateless perlu diberi peluang menyertai program-program Sistem Parol, Pelepasan Banduan Secara Lesen dan Reintegrasi Penghuni bagi membantu mutu kehidupan keluarga dan menyumbang kepada negara. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PENGUMUMAN pada 22 Mac lalu oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin bahawa seramai 10,000 banduan dijangka menjalani program-program Sistem Parol, Pelepasan Banduan Secara Lesen dan Reintegrasi Penghuni dengan 80 peratus ditempatkan di dalam industri bagi mengisi kekosongan tenaga kerja yang menggunakan warga asing disambut baik oleh Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO).

Selain itu, Hamzah juga menyatakan Rang Undang-Undang (RUU) Perintah Kehadiran Wajib (Pindaan) 2021 bakal menjadi alternatif kepada hukuman pemenjaraan, sekiranya bacaan kali kedua dan ketiganya diluluskan pada Persidangan Dewan Rakyat kali ini.

Katanya lagi, hukuman alternatif bagi pesalah syariah juga sudah sedia untuk dilaksanakan kerajaan, selain Jabatan Kehakiman Syariah dengan kerjasama Jabatan Penjara sudah mengeluarkan Garis Panduan Perintah Kehadiran Wajib (PKW) bagi golongan berkenaan.

MHO berpendapat, hukuman alternatif tersebut boleh dikenakan kepada pesalah bukan warganegara (stateless) yang berada di kem-kem tahanan imigresen. Mereka juga perlu diberi peluang menyertai program ini.

MHO mencadangkan sekiranya sebilangan kecil dalam anggaran 20 peratus daripada golongan stateless dibenarkan menyertai program tersebut bagi mengisi kekosongan tenaga kerja warga asing, ini akan mengurangkan pelbagai masalah termasuklah mengurangkan kepadatan jumlah di kem-kem tahanan imigresen serta membuka peluang kepada mereka untuk meningkatkan mutu kehidupan keluarga di samping dapat menyumbang kepada negara.

MHO secara berterusan telah membawa isu berkaitan masyarakat tanpa warganegara di Malaysia dan mereka bukanlah dikategorikan sebagai pendatang asing tanpa izin (PATI).

Oleh yang demikian, kumpulan stateless juga mampu untuk menggantikan pekerja asing untuk bekerja dan ini selari dengan kenyataan Hamzah bahawa pesalah bukan sahaja boleh dipulihkan melalui kerjasama kerajaan dan komuniti, malah mampu untuk meneruskan kehidupan sambil menjalani hukuman dalam komuniti yang akan diselia pegawai Jabatan Penjara. -UTUSAN

TAN SRI MUSA HASAN
Penasihat MHO

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya