Naik caj dialisis pesakit Covid-19

Naik caj dialisis pesakit Covid-19

KERAJAAN negeri juga berhasrat membina sebuah pusat hemodialisis bagi membantu rakyat Melaka yang tidak layak mendapat bantuan rawatan. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PERSATUAN Profesional Dialisis Malaysia (PPDM) ingin menarik perhatian Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai kenaikan kos dialisis pesakit Covid-19.

PPDM menerima banyak aduan dalam kalangan ahli-ahli mengenai isu-isu semasa dihadapi dalam memberikan rawatan kepada pesakit Covid-19 yang menjalani rawatan dialisis.

Dalam situasi negara menghadapi pandemik Covid-19, semua pihak termasuk kerajaan mahupun swasta tidak terkecuali daripada terkesan dengan wabak yang melanda negara ini.

Mengikut arahan terbaharu KKM, semua pesakit buah pinggang dijangkiti Covid-19 perlu menjalani rawatan di pusat dialisis swasta. Hal ini akan menyebabkan terjadinya situasi yang lebih membimbangkan.

Sebagai contoh, sepanjang tempoh dua tahun lalu dan sejak bermula pandemik, semua pengusaha pusat dialisis menampung segala kos tambahan tanpa mendapat sebarang bantuan tambahan daripada kerajaan.

Segala kos tambahan terpaksa ditanggung dan pada masa sama kekal dengan jumlah tuntutan rawatan yang telah ditetapkan.

Dalam jangka masa 20 tahun ini, segala kos perubatan, peralatan, pengangkutan serta operasi telah meningkat pada skala yang tinggi.

Sehubungan itu, lahir kebimbangan para pengusaha pusat dialisis swasta jika keadaan ini berterusan. Dikhuatiri rawatan lengkap tidak dapat diteruskan kepada pesakit yang menerima rawatan dialisis.

RUGI

Perlu diingatkan, pusat-pusat dialisis memerlukan kakitangan yang lebih ramai, penggunaan peralatan perlindungan diri (PPE) yang lebih banyak, kekerapan melakukan sanitasi, selain syif berasingan perlu dijalankan dan juga melibatkan kos elektrik serta air yang tinggi.

Sebelum ini, terdapat laporan lebih 800 pusat rawatan dialisis menanggung beban kerugian akibat penularan wabak Covid-19 kerana terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang banyak untuk pembelian PPE, sanitasi dan kuarantin pekerja.

Sekiranya berlaku staf berkaitan dijangkiti Covid-19 yang mana akan menyebabkan kekurangan kakitangan dan para pengusaha terpaksa mencari pekerja ganti.

Oleh itu, PPDM berasakan adalah tidak adil untuk KKM membebankan pengusaha-pengusaha dialisis yang mana kementerian boleh mendapatkan dana melalui peruntukan yang ditetapkan.

Kami tidak menerima sebarang peruntukan tambahan bagi tuntutan rawatan dan juga tidak menerima sebarang peruntukan khas ataupun geran mahupun dana khas daripada kementerian sepanjang tempoh pandemik ini.

Sehubungan itu, PPDM mencadangkan agar dipertimbangkan perkara di atas dan memohon kerajaan mengkaji dan menilai semula kadar tuntutan rawatan bagi pesakit dialisis yang tidak dibuat sejak lebih 20 tahun.

Juga menjadi harapan agar kementerian dapat memperuntukkan geran secara sekali bayar atau sebarang peruntukan khas kepada semua pusat dialisis swasta bagi membantu meneruskan rawatan kepada pesakit.

Dengan adanya tambahan dana, dapat membantu kelangsungan rawatan dan memastikan pesakit tidak terganggu dan juga menjaga kualiti rawatan. – UTUSAN

DATUK DR. ZULKIFLI ABDUL AZIZ, Pengerusi PPDM

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya