Seni dan karyawan Malaysia diiktiraf dunia

Seni dan karyawan Malaysia diiktiraf dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysian Craft Council (MCC) menjadi antara badan bukan kerajaan (NGO) yang diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bagi Warisan Kebudayaan Tidak Ketara di Paris, Perancis pada Rabu.

Timbalan Presiden MCC yang juga pelakon, Arja Lee, menyifatkan pengiktirafan ini sangat penting sebagai langkah untuk membawa budaya Malaysia ke peringkat global.

“Saya berpendapat, pengiktirafan ini bukan hanya mengangkat MCC sebagai badan bukan kerajaan.

“Malah ia turut mengangkat seni kraf di Malaysia menerusi portfolio seni persembahan di Malaysia ke mata dunia.

“Kami sangat menghargai badan dan organisasi yang banyak memberikan sokongan dalam membangunkan aktiviti kraf berorientasikan artisan dan komuniti,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Manakala menurut presiden pengasas MCC, Nik Faiz Nik Amin berkata, ia juga merupakan penghormatan besar kepada para karyawan tempatan yang berusaha untuk memelihara warisan kebudayaan negara.

“Melalui warisan tidak ketara seperti seni persembahan dan pembuatan kraf tradisional, para artisan ini berkerja keras dalam memastikan warisan kebudayaan ini sentiasa hidup dan dipelihara.

“Kami membawa seni warisan seperti kelingkan, songket dan memperkasa kedua dua kraf ini melalui seni persembahan supaya relevan sepanjang zaman.

“Dengan adanya pengiktirafan daripada UNESCO ini, kraf sebegini diharap dapat terus dimartabat dan diangkat, terutama untuk tatapan generasi akan datang,” katanya.

MCC menerima pengiktirafan tersebut bersama 57 badan bukan kerajaan yang lain dari seluruh dunia, termasuk dua dari Malaysia iaitu Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) dan Pusat Budaya Pusaka (PUSAKA).

Sesi pentauliahan bagi pengiktirafan tersebut telah diadakan secara rasmi bersempena Perhimpunan Agung UNESCO selama dua hari di Paris, pada 11 dan 12 Jun lalu.

Pengiktirafan daripada UNESCO ini diberikan sebagai menghargai komitmen dalam memartabatkan seni warisan budaya melalui pendidikan, pengalaman dan peningkatan ekonomi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN