Memang benarlah TLDM dapat kapal halimunan

Memang benarlah TLDM dapat kapal halimunan

TLDM bertanggungjawab ke atas kawasan maritim merangkumi perairan Laut China Selatan dan Selat Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KETIKA negara jiran, Indonesia mengumumkan pembelian jet tempur Rafale dari Perancis, kita pula mengumumkan penyewaan empat helikopter Leonardo AW139 sambil menunggu peruntukan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (2026-2030) untuk memperoleh helikopter baharu.

Sewaktu mereka membuat perancangan untuk membeli dua kapal selam Scorpene, kita pula masih menanti penyerahan kapal tempur pesisir pantai (LCS) yang dijanjikan pada 2019.

Ketika diumumkan pada 2014, kapal LCS dikatakan mempunyai keupayaan halimunan. Namun, setelah penantian selama sedekad, kini sudah terserlah bahawa kapal tersebut bukan sahaja halimunan kepada radar musuh tetapi juga di mata rakyat Malaysia.

Walaupun saya bersetuju kita sepatutnya ukur baju di badan sendiri, benar atau tidak andaian bahawa Malaysia tidak mampu untuk memperoleh aset ketenteraan canggih seperti negara-negara lain?

Ayuh kita lihat fakta, Malaysia bukanlah sebuah negara yang tidak mampu dari segi kewangan dan kepakaran.

Jurutera, anak watan telah pun membuktikan kebolehan mereka dengan pembinaan kapal peronda kelas Kedah yang dibina di Limbungan Lumut, kapal ronda laju kelas Jerong di Limbungan Butterworth dan kapal peronda kelas Musytari di Limbungan Pasir Gudang.

Dari segi kewangan pula, Malaysia berada di tangga keempat dalam senarai ekonomi terbesar di Asia Tenggara dari segi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2022 selepas Indonesia, Thailand dan Vietnam berdasarkan laporan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Namun, menurut data Institut Penyelidikan Keamanan Antarabangsa Stockholm (SIPRI) dalam tempoh 10 tahun dari 2010 ke 2020, perbelanjaan Malaysia untuk aset ketenteraan hanya AS$1.426 bilion (RM5.98b).

CEROBOH

Jumlah tersebut adalah keenam tertinggi di Asia Tenggara selepas Vietnam (RM28.78b), Singapura (RM24.84b), Indonesia (RM22.91b), Thailand (RM12.21b) dan Myanmar (RM11.33b).

Perkara ini menunjukkan Malaysia kini menjadi bahan jenaka walhal kita mempunyai kemampuan dan kebolehan mencukupi untuk melaksanakan program perolehan aset ketenteraan dengan baik.

Dengan pencerobohan kapal asing yang semakin meningkat, kelewatan pembekalan kapal LCS akan merencatkan kemampuan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk menjamin keselamatan perairan negara.

TLDM bertanggungjawab ke atas kawasan maritim merangkumi perairan Laut China Selatan dan laluan perdagangan Selat Melaka.

Tanpa penambahan aset moden, TLDM akan kekal dalam keadaan overstretched dan terpaksa menggunakan aset yang tidak sesuai dari segi umur, jenis dan keupayaan kapal.

Ketiadaan kapal tempur berteknologi canggih dan berkesan, TLDM akan ketinggalan jauh terkebelakang berbanding angkatan laut negara-negara lain.

Jika projek LCS tidak diteruskan, maka perancangan untuk menaik taraf kesiapsiagaan TLDM akan terkubur.

Maka harus dikatakan dalam isu LCS, kebolehan jurutera tempatan dan kemampuan kewangan tidak patut menjadi halangan kepada Malaysia.

Isu sebenarnya terletak pada sifat tamak dan rakus para pemegang amanah serta perasaan teragak-agak oleh pihak berwajib yang membiarkan projek LCS dalam keadaan tergantung.

Kini, negara kita memerlukan keputusan jelas daripada kepimpinan peringkat tertinggi negara dan keberanian untuk menghukum para penderhaka yang telah memungut ‘wang haram’ daripada projek LCS.

Isu rasuah adalah barah kepada negara kita dan kerajaan harus terus komited untuk memperkenalkan sebuah sistem perolehan aset pertahanan yang telus, adil dan beramanah. – UTUSAN

ABDUL WAHID, Setiawangsa, Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya