SAUDARA PENGARANG,
KEMUDAHAN elektrik yang digunakan sepanjang hari bukan hanya memberi keselesaan tetapi boleh mengancam nyawa.
Baru-baru ini, sebuah akhbar berbahasa Cina melaporkan, seorang remaja berusia 15 tahun menjadi mangsa renjatan elektrik.
Ia bukanlah kejadian luar biasa, namun amat menyedihkan kerana tiada tindakan bagi membantu menghentikan kes sebegini. Saya percaya banyak yang boleh dilakukan untuk memastikan ia tidak lagi berulang.
Pada pendapat saya, kemalangan berkaitan elektrik dapat dielakkan sekiranya orang ramai tidak melakukan penyambungan elektrik dengan sendiri. Perkara ini perlu dihentikan segera.
Saya percaya sebahagian besar daripada kemalangan elektrik di rumah berlaku akibat kelalaian pengguna. Mereka menjadikan diri mereka ‘pakar’ peralatan elektrik dan melakukan sambungan kepada alat elektrik atau mendapat bekalan elektrik tambahan dengan sendiri. Jangan cuba buat demikian atau anda hanya akan membunuh diri sendiri dan orang tersayang.
Sekiranya memerlukan kerja-kerja sambungan elektrik, anda dinasihati memanggil kontraktor berdaftar untuk melaksanakan tugas tersebut. Kontraktor berkenaan akan meminta persetujuan terlebih dahulu daripada pihak berkuasa pembekal elektrik, iaitu Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Langkah ini penting untuk memastikan kemasukan bekalan elektrik ke rumah anda tidak terlalu banyak atau mempunyai sambungan yang salah kerana ia boleh mengakibatkan kemalangn elektrik yang meragut nyawa.
Ingatlah, melakukan kerja-kerja penyambungan elektrik tanpa persetujuan pihak berkuasa adalah bertentangan dengan Ordinan Letrik. Andainya gagal mematuhi perkara ini, bererti anda boleh disaman dan dituduh mencuri elektrik jika didapati bersalah.-UTUSAN
BULBIR SINGH, Bekas Presiden Persatuan Pengguna Negeri Sembilan










