SAUDARA PENGARANG,
PERISTIWA Israk Mikraj bukan cerita fiksyen kerana ia merupakan satu mukjizat teragung serta paling menakjubkan. Menurut Imam Ibnu Khathir, kisah tersebut sampai ke pengetahuan manusia dalam pelbagai riwayat oleh para imam hadis, imam tauhid dan imam fiqh.
Semua riwayat itu tiada percanggahan kecuali berkaitan tarikh berlakunya peristiwa tersebut, namun ia sudah tertulis dalam alQuran surah al-Isra ayat 1.
Manusia itu wujud kerana Allah SWT. Setiap yang wujud di muka bumi ini juga kerana Allah SWT, maka kita perlu bersikap yakin dengan kekuasaan-Nya dan ia wajib dilakukan bagi setiap orang beriman. Perkara sama dilakukan oleh Sayidina Abu Bakar r.a bergelar al- Siddiq yang mempercayai Rasulullah SAW sebagai utusan Allah SWT.
Al-Tabraani dalam kitab al-Awsath dengan sanad yang sahih daripada Ibnu Abbas r.a berkata: “Sesungguhnya Nabi Muhammad SAW telah melihat Tuhan-Nya dua kali. Sekali dengan pandangan mata dan sekali dengan pandangan hati.”
Menurut Imam Ahmad daripada Ibnu Abbas r.a pula, Rasulullah SAW berkata: “Aku melihat Tuhanku Azzawajalla.”
Ia diperkuatkan lagi riwayat Imam alBaihaqi dalam kitab al-Ru’ya yang memetik: “Sesungguhnya Allah SWT melebihkan Nabi Ibrahim menjadi khalilullah, juga melebihkan Nabi Musa a.s dengan berkatakata dengan Tuhan dan melebihkan Nabi Muhammad SAW dengan melihat wajah Tuhan.”
Jadi, penjelasan ringkas ini sudah cukup memberi keyakinan terhadap peristiwa Israk Mikraj tanpa perlu pembuktian saintifk kerana sains tidak mampu menjelaskan mukjizat agung tersebut.
Ilmu dan pengetahuan sains moden tidak dapat menghuraikan setiap peristiwa Israk Mikraj, sebaliknya sekadar hujah akal yang pada dasarnya tidak bersifat mutlak.-UTUSAN
MUZAKKIR IBADURRAHMAN, Pulau Pinang