Industri makanan jamin keselamatan negara

Industri makanan jamin keselamatan negara

KERAJAAN perlu memikirkan perancangan jangka panjang untuk memastikan bekalan makanan tidak terputus ketika konflik bersenjata atau bencana alam berlaku.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KONFLIK Ukraine-Rusia yang tercetus sejak 24 Februari lalu menyebabkan lonjakan harga minyak dunia. Walaupun krisis tersebut jauh dari Malaysia tetapi sedikit sebanyak memberi tempias terhadap sektor ekonomi negara ini.

Malah, kekurangan bekalan makanan seperti ayam dan telur baru-baru ini memberi kesan terhadap 32.7 juta rakyat.

Tidak dapat dinafikan pertambahan jumlah penduduk serta kekurangan usahawan yang berkecimpung dalam bidang penternakan dan penanaman menjadi faktor utama masalah bekalan makanan.

Masyarakat sedia maklum, kebanyakan sumber makanan di negara ini diimport dari negara luar. Pada 2020 sahaja, dianggarkan import makanan bernilai RM55.4 bilion.

Negara-negara pengeluar makanan seperti China, India, Pakistan dan Thailand berpotensi untuk berubah geopolitik mengikut situasi semasa. Apatah lagi jika geografi negara tersebut terletak di kawasan ‘panas’ yang menjadi pertikaian. Sekiranya peperangan atau konflik tercetus, sudah tentu mereka tidak dapat membekalkan makanan kepada negara luar berikutan isu keselamatan iaitu bekalan makanan disimpan untuk kegunaan rakyatnya sendiri.

Kerajaan harus sedar perkara ini serta memikirkan perancangan jangka panjang untuk memastikan bekalan makanan tidak terputus ketika konflik bersenjata atau bencana alam.

Agensi kerajaan seperti Jabatan Pertanian harus proaktif memberikan idea serta tunjuk ajar tentang cara-cara penanaman sayur-sayuran serta buah-buahan secara lebih efektif manakala bantuan kewangan dan latihan perlu diberi kepada orang perseorangan dan syarikat yang berminat menjalankan penternakan serta penanaman.

Dalam hal ini, kerajaan perlu menjadikan sektor makanan sebagai sektor kritikal sama seperti pentingnya infrastruktur, kewangan, keselamatan, pertahanan, perdagangan dan sebagainya terhadap negara.

Hal demikian ini sudah pasti dapat mencapai objektif utama iaitu memastikan keselamatan makanan di Malaysia terpelihara daripada sebarang implikasi konflik di negara luar.

Kadangkala kita terlalu memikirkan keselamatan dan pertahanan dari aspek persenjataan semata-mata, namun kita terlupa jika tiada sesuap nasi untuk diisi ke dalam perut seorang prajurit, nescaya kita berdepan dengan kekalahan juga.-UTUSAN

MOHAMMAD SYAHIR LUQMAN, Marang, Terengganu

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN