SAUDARA PENGARANG,
ADA pihak yang mempertikaikan sokongan 43 peratus undi popular yang memenangkan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini kerana dikatakan tidak mewakili rakyat negeri itu secara amnya.
Mungkin ramai kurang sedar dengan sistem pilihan raya diamalkan sejak merdeka yang sebenarnya memberikan rakyat peluang untuk menentukan individu mewakili kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan seterusnya Parlimen yang diduduki mereka.
Sistem ini sebenarnya lebih baik kerana rakyat di DUN dan Parlimen boleh membuat penilaian seterusnya berhak menentukan sama ada calon tersebut layak dipilih atau tidak.
Berbanding sistem lain di Indonesia menggunakan sistem undi popular yang kurang mampu memberikan hak rakyat untuk memilih wakil dalam kawasan DUN atau Parlimen yang dihuni oleh mereka.
Walaupun begitu, kemenangan BN adalah disebabkan strategi politiknya, bukan kerana sistem pilihan raya yang memberikan kelebihan kepadanya.
Kejayaan BN dalam PRN Melaka dan PRN Johor kerana strategi Pengarah Pilihan Raya BN, Datuk Seri Mohamad Hasan (Tok Mat) yang berkesan dan efektif dalam menangani segala cabaran dan dugaan sebelum dan semasa pilihan raya negeri.
Aura Tok Mat dalam menyusun strategi perang bersama kebijaksanaan kepimpinan UMNO dalam PRN Melaka dan PRN Johor tidak boleh dinafikan dalam menjayakan kemenangan BN.
Kejayaan itu juga berpunca daripada penggunaan teori sledgehammer (tukul besi) oleh BN bagi meraih sokongan rakyat setelah tersungkur dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018.
Teori tukul besi yang digunakan adalah berteraskan pendekatan psikologi dan realiti latar sosial sesebuah masyarakat sama ada dalam DUN atau negeri sebelum dan semasa tempoh berlaku pilihan raya.
Permulaan fasa psikologi sosial adalah dengan memenangi hati dan jiwa sebelum mendekati pengundi.
SERANG
Ini adalah permulaan paling sukar kerana perlu memecahkan dan menangani persepsi imej yang digambarkan oleh media sosial ke atas kepimpinan BN.
Boleh dikatakan permulaan fasa ini, BN khususnya UMNO diserang kiri dan kanan sehinggakan wujudnya satu fenomena ditolak rapat ke dinding.
Tetapi kepimpinan UMNO pada masa itu tidak mengelabah dan panik. Malahan setiap serangan ditangani secara berhemah.
Akhirnya serangan UMNO ke atas musuh politiknya adalah dengan mengembalikan buah keras tersebut.
Strategi ini memperlihatkan BN mendesak agar nasib rakyat yang terjejas akibat daripada impak krisis Covid-19 dibela dan diberikan bantuan secukupnya.
Langkah itu akhirnya berjaya mengalahkan strategi parti pembangkang yang berpegang kepada slogan Kerajaan Gagal. Satu memorandum persefahaman (MoU) juga dibuat antara parti pembangkang dan parti kerajaan.
Ini akhirnya menjayakan matlamat teori tukul besi iaitu meruntuhkan imej parti oposisi untuk bertindak sebagai parti yang berkesan.
Parti pembangkang iaitu Pakatan Harapan (PH) gagal dalam membela setiap isu rakyat yang berlaku kerana diikat dengan MoU berkenaan.
Rakyat melihat kefungsian dan peranan PH telah dilemahkan sama ada berlaku paksaan atau sukarela apabila berdepan dengan parti kerajaan.
Teori tukul besi juga berjaya merosakkan imej PH sama ada secara langsung atau tidak.
Rakyat tidak lagi melihat aura kehebatan PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah) dalam membela nasib dan kepentingan mereka. – UTUSAN
DR. ISKANDAR HASAN TAN ABDULLAH, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan