KUALA PENYU: Seorang lelaki ditemukan lemas ketika melakukan aktiviti menangkap ikan bersama keluarganya, di perairan pantai Kampung Batu Linting, dekat sini, petang tadi.
Mangsa berusia 20 tahun ditemukan pukul 1.45 petang oleh sepasukan bomba yang sedang menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Penyu, Zulhalim Abidin berkata, pihaknya menerima panggilan pukul 1.15 tengah hari seterusnya menggerakkan sepasukan lapan anggota ke lokasi kejadian.
Beliau berkata, ketika tiba di lokasi, pihaknya menjalankan operasi SAR yang dibantu oleh Angkatan Pertahanan Awam (APM).
“Mangsa berjaya ditemukan pada jarak 500 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
“Mangsa bukan seorang nelayan dan tidak menaiki bot. Mangsa hanya menjalankan aktiviti menangkap ikan di tepi pantai bersama keluarga,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Zulhalim berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pukul 3.57 petang,” katanya. – UTUSAN










