SAUDARA PENGARANG,
BANJIR di negara kita bukan perkara baharu kerana sering terjadi terutama di sebelah Pantai Timur seperti Kelantan dan Terengganu, manakala banjir kilat berlaku di kawasan Pantai Barat.
Malah kebanyakan komuniti pesisir pantai juga sentiasa bersiap siaga menanti musim monsun yang menyaksikan taburan hujan lebih tinggi daripada biasa.
Namun, pada Disember lalu, negara dikejutkan dengan bencana banjir di Selangor yang langsung tidak diduga kehadirannya menyebabkan ribuan penduduk terperangkap di rumah sendiri dan jalan raya.
Sememangnya tiada sesiapa menduga hujan lebat berpanjangan telah membawa bencana besar dan mengubah landskap negeri perindustrian tersebut.
Genap sebulan selepas bencana itu, rata-rata penduduk yang terjejas sudah bangkit dan meneruskan kehidupan.
Pastinya bukan mudah untuk melupakan tragedi tersebut terutama bagi yang kehilangan ahli keluarga manakala nilai kerugian harta benda tidak terkira jumlahnya.
Mengimbau kembali banjir di Selangor, kita dapat lihat ramai orang berhati mulia turun padang memberikan bantuan.
Tidak kira agensi kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mahupun individu persendirian masing-masing menghulurkan bantuan makanan, pakaian, barang dapur dan membersihkan kawasan bencana.
Bagaimanapun, kita mungkin terlepas pandang dengan tanggungjawab selepas bencana berlaku dari segi pengurusan bahan buangan.
Apakah yang kita lakukan selepas sebulan berlalunya bencana? Sehingga kini, kita masih melihat sisa atau barangan yang rosak akibat bencana itu dibiarkan dan tidak diuruskan dengan baik.
Ia bakal memberikan kesan kepada alam sekitar dan mungkin menjadi penyebab berlakunya kerosakan lain pada masa akan datang.
Selain usaha kerajaan mewujudkan jawatankuasa pengurusan risiko selepas bencana, menjadi tanggungjawab kita semua untuk memastikan setiap individu menjalankan tugas masing-masing selepas bencana dan bersiap sedia menghadapi kemungkinan bencana lain pada masa hadapan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini menyeru rakyat meningkatkan pemahaman dan kesedaran dalam menguruskan risiko sama ada sebelum bencana mahupun selepas bencana bagi menambah baik pengurusan krisis apabila berlakunya bencana pada masa akan datang.
Dalam pada itu, Perdana Menteri memberitahu, sebagai agensi utama yang membantu kerajaan menyusun langkah-langkah wajar sebelum, semasa dan selepas bencana, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) mengambil langkah proaktif dengan menggubal Dasar Pengurangan Risiko Bencana (DRR).
Oleh yang demikian, semua rakyat harus menyahut seruan kerajaan itu dalam menguruskan risiko selepas bencana dengan mengambil langkah memastikan kesan daripada bencana seperti sisa buangan tidak menyebabkan kerosakan lain pada masa akan datang.
Selain itu, pemahaman dan kesedaran untuk sentiasa bersiap siaga dalam menghadapi bencana pada masa hadapan walaupun kita tidak menjangkakannya adalah amat penting bagi memastikan sejarah dahulu tidak berulang.
DR. SITI SARA IBRAHIM, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan