SAUDARA PENGARANG,
KITA dimaklumkan oleh pelbagai badan berautoriti yang jalan keluar terbaik daripada belenggu pandemik Covid-19 adalah menerusi vaksinasi.
Pakar-pakar kesihatan berkali-kali menyatakan tujuan utama vaksin adalah mengurangkan risiko jangkitan, keterukan sekiranya dijangkiti sekali gus menurunkan kadar kematian dan sebagai senjata ampuh dalam usaha mengawal penularan. Kegagalan mengawal kebolehsebaran virus ini akan memberi kesan buruk kepada aspek kehidupan, baik ekonomi, sosial dan keselamatan.
Impak program imunisasi telah dibuktikan di Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) dengan penurunan ketara kes kematian harian. Di Malaysia, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) juga begitu.
Walaupun, Allah SWT sahajalah yang Maha Berkuasa menyembuhkan setiap penyakit yang ada, namun, manusia diseru berubat dan berikhtiar mencegah dan merawat. Vaksin dilihat sebagai salah satu ikhtiar dalam mencegah diri daripada dijangkiti.
Islam menganjurkan umatnya untuk mengambil langkah pencegahan sebelum dijangkiti. Nabi SAW dalam sebuah hadis diriwayatkan Imam al-Bukhari bersabda: “Sekiranya kamu mendengar tentang taun yang menimpa sesuatu kawasan, maka janganlah kamu masuk ke tempat tersebut. Sekiranya ia berlaku di sesuatu kawasan dan kamu berada di dalamnya, maka janganlah kamu keluar untuk melarikan diri daripadanya.”
Baginda juga bersabda sebagaimana diriwayatkan oleh Imam Muslim: “Bagi setiap penyakit ada ubatnya. Apabila betul ubatnya, maka sembuhlah dengan izin Allah.”
Badan berautoriti dan sarjana Islam seluruh dunia mengharuskan penggunaan vaksin dalam usaha mencegah penularan dan keterukan jangkitan. Keharusan ini bertepatan dengan hadis Nabi SAW yang juga menjadi asas kepada kaedah fiqh: “Tidak ada sebarang mudarat dan tidak ada juga perbuatan membalas kemudaratan.”
Selain itu, keharusan ini juga selari dengan kaedah fiqh iaitu kemudaratan yang lebih kecil ditanggung bagi mengelak kemudaratan lebih besar.
Pada era khilafah Turki Uthmaniyyah, ia diamalkan secara meluas berikutan siri epidemik cacar yang menular. Rekod sejarah menunjukkan Istanbul mengalami tujuh epidemik cacar dalam tempoh 1701 hingga 1878. Ketika itu, cebisan kulit daripada individu dijangkiti diambil sebelum memindahkannya kepada individu yang diinokulasi.
Amalan ini diperhatikan oleh Lady Mary Montagu (1689-1762), isteri duta British ke Turki Uthmaniyyah yang kagum dengan keberkesanannya sebelum memperkenalkannya kepada pengamal perubatan UK (sekitar 1721-1723) sementara Edward Jenner membangunkan vaksin cacar lembu pada 1789 selepas siri eksperimen berdasarkan teknik pakar perubatan Turki.
Kesimpulannya, vaksin yang diberikan oleh kerajaan telah melalui siri ujian klinikal yang sangat ketat sebelum diluluskan oleh badan-badan pengawal selia berkredibiliti. -UTUSAN
DR. ABDUL HALIM IBRAHIM,Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya