Segera atasi isu pekerja asing - Utusan Malaysia

Segera atasi isu pekerja asing

DILAPORKAN lebih 2,000 restoran mamak terpaksa tutup operasi perniagaan sejak 2020 kerana kekurangan pekerja. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

IMPLIKASI pandemik Covid-19 memberi kesan terhadap persekitaran tenaga kerja dalam sektor tempatan termasuk yang melibatkan pekerja asing.

Kekurangan kumpulan pekerja itu dalam perkhidmatan sajian, khususnya di restoran mamak di seluruh negara perlu segera diatasi dengan pendekatan sebaiknya.

Seperti didedahkan oleh Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Datuk Jawahar Ali Taib Khan baru-baru ini, lebih 2,000 restoran mamak terpaksa ditutup sejak 2020.

Daripada 12,000 ahli Presma yang berdaftar, kini hanya tinggal kira-kira 10,000 anggota dan yang lain menutup operasi sejak dua tahun lalu kerana beberapa faktor, salah satunya kekurangan tenaga kerja.

Pengoperasian premis perniagaan kategori ini akan menjadi lebih kritikal dan ironinya tiada rakyat tempatan mahu mengambil peluang untuk mengisi kekosongan berkenaan dan hal ini tidak boleh dipersalahkan.

Situasi ini dibantu perkembangan sektor lain seperti ekonomi gig yang lebih fleksibel seterusnya menarik minat terutama golongan muda untuk menceburi sama ada secara kekal atau sementara.

Faktor utama disebabkan kebanyakan pekerja terpaksa pulang kerana tamat tempoh permit kerja selain terkandas di negara asal.

Bagi sektor lain, kos gaji turut membelenggu pihak majikan. Dikhabarkan gaji kini mencecah sehingga RM2,500 seorang yang menyumbang kepada kenaikan kos operasi perniagaan.

Contohnya, pekerja asing Bangladesh meminta kadar upah yang tinggi disebabkan mereka sedar permintaan terhadap pekerja bidang 3D iaitu sukar, bahaya dan kotor semakin meningkat.

Maka, dasar pengambilan pekerja asing harus direncana secara proaktif berpandukan sistem yang menyokong keperluan berasaskan permintaan setiap sektor dan subsektor serta bagi mempercepatkan proses pemulihan perniagaan dan ekonomi.

Selain itu, penghapusan kuota khas pekerja asing dilihat wajar bagi mengatasi ‘kemungkinan penyalahgunaan’ yang mengakibatkan kemasukan berlebihan.

Diakui landskap perniagaan pascapandemik yang semakin kompetitif, maka prosedur operasi standard (SOP) harus ditambah baik dari semasa ke semasa mengenai kemasukan pekerja asing dan syarat baharu yang dipersetujui dalam memorandum persefahaman bersama negara sumber.

Perubahan lain bagi meningkatkan kecekapan sistem sedia ada adalah proses secara dalam talian sewajarnya hanya membabitkan satu kementerian atau agensi terutama melibatkan kelulusan permohonan.

Pelaksanaan proses kalibrasi amat signi­fikan bagi mendapatkan gambaran tepat dan bersepadu berkenaan pekerja asing di negara ini.

Langkah ini seterusnya wajar dijadikan mekanisme pembangunan profil pekerja asing di Malaysia merangkumi keseluruhan sektor dan subsektor utama yang berkaitan.

Lantas, pendekatan penyelesaian isu secara proaktif mampu segera mengimbangi jumlah permintaan dan penawaran pekerja asing, meneruskan operasi perniagaan, menjana pendapatan seterusnya merancakkan semula sektor ekonomi negara. – UTUSAN

DR. MUHAMMAD AIMAN ARIFIN, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Arau

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN