SAUDARA PENGARANG,
KES Covid-19 kini mencatat trend peningkatan membimbangkan dengan jumlah jangkitan mencatat 20,939 kes baharu pada Jumaat lalu.
Penurunan kes sebelum ini berikutan hasil kejayaan program vaksinasi dan dos penggalak menyebabkan rakyat sudah rasa selesa dan mula mengabaikan prosedur operasi standard (SOP).
Lihatlah sendiri di sekeliling kita. Pengunjung sudah malas untuk mengimbas kod aplikasi MySejahtera sebelum memasuki bangunan atau premis perniagaan. Pelanggan restoran terutama di kedai mamak duduk rapat-rapat sambil bersembang rancak seolah-olah berada di zaman sebelum Covid-19 melanda.
Baru-baru ini juga tular di media sosial yang mana pengunjung di sebuah taman tema di Ipoh didakwa tidak patuh SOP. Pemakaian pelitup muka di tempat kerja juga diambil mudah.
Sudah jadi kebiasaan pelitup muka hanya dipakai ketika dalam perjalanan ke tempat kerja. Sampai di pejabat, pelitup muka ditanggalkan dengan alasan rimas dan tidak selesa untuk berbual. Kalau dipakai pun hanya sekadar sangkut di dagu. Kalau di pejabat yang selesa dan sejuk pun orang tidak mahu pakai pelitip muka, apatah lagi di tempat panas seperti kilang dan gudang.
Majikan dan penyelia patut ambil iktibar dan memastikan pekerja sentiasa memakai pelitup muka sekali pun berada di meja sendiri bagi mengelak kluster tempat kerja.
Seeloknya SOP diperketatkan semula supaya kes kembali stabil agar rakyat dapat pulang ke kampung sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga diharap berkeras untuk menangguhkan dahulu Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sehingga kes jangkitan kembali stabil kepada sekurang-kurangnya tiga angka.
PEMERHATI, Kuala Lumpur