Pelajar boleh saman guru sibuk politik - Utusan Malaysia

Pelajar boleh saman guru sibuk politik

GURU yang mengabaikan tanggungjawab mengajar boleh diambil tindakan undang-undang di mahkamah. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

MANA-MANA pelajar yang berasa guru mereka gagal memberi fokus terhadap proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah kerana sibuk berpolitik disaran mengambil tindakan undang-undang.

Ini susulan keputusan kerajaan baru-baru ini yang memutuskan semua guru dan kakitangan di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dibenarkan untuk bergiat dalam politik berkuat kuasa serta-merta.

Walaupun keputusan itu memberi lebih banyak peluang kepada guru untuk melibatkan diri dalam sistem demokrasi, namun fokus utama yang harus diberikan adalah untuk mengajar pelajar mereka.

Sekiranya terdapat mana-mana guru yang mengabaikan tanggungjawab hakiki terhadap proses pengajaran dan pembelajaran, tindakan saman sivil boleh diambil terhadap mereka di mahkamah.

Ini kerana pelajar juga mempunyai hak untuk mendapat perkhidmatan terbaik daripada guru-guru mereka.

Pelajar boleh mendapatkan khidmat nasihat perundangan daripada mana-mana unit bantuan guaman atau menghubungi Majlis Peguam Malaysia untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Tindakan pelajar menyaman guru bukan perkara baharu kerana pada 2018, seorang pelajar mengambil tindakan saman terhadap guru mata pelajaran Bahasa Inggeris atas dakwaan tidak masuk kelas selama tujuh bulan di sebuah sekolah di Sabah.

Dalam samannya, pelajar itu mendakwa guru terbabit tidak hadir untuk mengajar subjek Bahasa Inggeris di kelasnya pada 2015.

Dalam pada itu, berdasarkan perkembangan terbaharu ini dan penguatkuasaan Undi18 yang menurunkan had usia mengundi di negara kita, Kementerian Pendidikan dan pihak pengurusan sekolah perlu memastikan pelajar di sekolah tidak menjadi mangsa kempen agresif oleh mana-mana ahli politik dan parti.

Remaja di bawah umur 18 tahun ini sepatutnya dilindungi daripada kempen politik mana-mana pihak. Isu politik adalah kompleks dan sensitif yang hanya sesuai untuk dibincang oleh golongan dewasa yang mempunyai pengalaman serta tahap pemikiran matang.

Pada masa sama, kita bimbang kempen politik akan menjejaskan tumpuan pelajar terhadap proses pembelajaran dan mengganggu perkembangan mental serta emosi mereka.

Terdapat pelbagai cara atau langkah yang boleh diambil bagi melindungi golongan kanak-kanak daripada kempen politik termasuk menggunakan peruntukan dalam Akta Kanak-Kanak 2001 yang mendefinisikan seorang kanak-kanak dalam Seksyen 2 sebagai seseorang yang di bawah umur 18 tahun.

Walaupun terdapat pelbagai jenis peruntukan bagi melindungi kanak-kanak dalam akta ini, namun ia masih tidak mencukupi untuk melindungi mereka daripada kempen-kempen politik oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Oleh yang demikian, kerajaan boleh mempertimbangkan untuk mewujudkan peruntukan lebih jelas dalam akta itu atau memasukkan peruntukan undang-undang baharu yang lebih khusus dan berasingan bagi tujuan berkenaan.

Ini bagi melindungi kanak-kanak daripada dipengaruhi oleh sentimen politik serta menyediakan satu bentuk hukuman keras terhadap mana-mana pihak yang melanggarnya.

PROFESOR MADYA DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya