Latih diri dengan amalan baik - Utusan Malaysia

Latih diri dengan amalan baik

PERBANYAKKAN amalan bersedekah termasuk ketika tibanya Rejab.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

UMAT Islam kini berada dalam Rejab iaitu bulan ketujuh dalam kalendar Hijrah. Keistimewaan bulan ini dinyatakan oleh Allah SWT dalam al-Quran dan disusuli penjelasan lebih terperinci dalam hadis Nabi SAW.

Rejab dari sudut bahasa bermaksud membesarkan atau mengagungkan. Selain itu, ia dinamakan Rejab kerana masyarakat pada zaman jahiliah mengagungkan bulan ini dengan meninggalkan peperangan, pembunuhan dan pertumpahan darah.

Menurut ahli sejarah, Ibn Kathir, Rejab merupakan bulan yang diharamkan berperang dan juga disebut bulan yang suci kerana Allah SWT mengharamkan melakukan kezaliman.

Setiap kezaliman yang dilakukan dalam bulan ini dosanya lebih besar berbanding bulan-bulan lain. Begitu juga sebaliknya, amal soleh yang dilakukan adalah lebih besar pahalanya berbanding bulan-bulan lain.

Perlu difahami dan ditegaskan kepada masyarakat Islam bahawa bulan ini tidak mempunyai kelebihan yang khusus.

Namun, hakikat itu tidak menghalang masyarakat Islam daripada terus melaksanakan amalan-amalan ibadah seperti biasa dengan syarat tidak meyakini amalan ini mempunyai kelebihan-kelebihan khusus atau tertentu.

Antara amalan-amalan soleh yang boleh dibiasakan dan diperbanyakkan di bulan ini ialah berpuasa sunat, melaksanakan solat sunat, bersedekah, membaca al-Quran, berzikir dan pelbagai lagi.

Masyarakat Islam sangat dianjurkan memperbanyakkan amalan tersebut dalam bulan ini.

Seterusnya, beramal di bulan ini juga adalah sebagai persiapan, persediaan dan latihan terbaik untuk membiasakan diri dengan amalan soleh sebelum memasuki Ramadan nanti.

Sempena bulan Rejab ini, marilah kita bersama-sama mempertingkatkan amalan ibadah dan soleh.

Semoga Allah SWT sentiasa memberi kita taufik dan hidayah-Nya dalam setiap amalan dilakukan agar tidak bercanggah dengan al-Quran dan juga sunnah Rasulullah SAW.

DR. AZRI BHARI, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN