SAUDARA PENGARANG,
BERAPA sebenarnya kos sara hidup di Malaysia? Saya amat tertarik untuk mengetahui lebih lanjut kerana sejak kebelakangan ini, ramai menyatakan hampir semua barangan mengalami kenaikan mendadak.
Saya membaca beberapa kajian yang menyatakan kita membelanjakan 40.5 peratus daripada gaji bulanan untuk membeli barang basah dan keperluan makanan peribadi serta keluarga.
Perbelanjaan kedua terbesar adalah pembayaran sewa rumah, iaitu 19 peratus. Ini diikuti perbelanjaan pengangkutan sejumlah 17 peratus.
Jika kita ikut pengiraan sebegini, katakan seseorang itu menerima gaji RM2,000 sebulan maka individu tersebut membelanjakan RM810 untuk barangan makanan dan barangan basah, RM380 sewa rumah dan RM340 perbelanjaan pengangkutan.
Persoalannya, masih wujudkah rumah yang disewakan pada kadar RM380 sebulan lebih-lebih lagi di kawasan bandar jika individu tersebut berkeluarga? Jika individu tersebut masih bujang, maka kemungkinan RM380 boleh dibelanjakan untuk sewa bilik.
Di Malaysia, peningkatan yang dirasakan dalam kos sara hidup menjadi subjek perdebatan dan perbincangan berterusan, walaupun dalam tempoh itu kadar inflasi adalah rendah dan stabil.
Sebaliknya, kos sara hidup yang sering digunakan melangkaui isu kenaikan harga barangan keperluan.
Oleh demikian, kebimbangan tentang kenaikan kos sara hidup dipengaruhi oleh beberapa faktor.
Harga rumah mempunyai perbezaan paling ketara di seluruh negeri dan kawasan bandar serta luar bandar.
Wujud juga perbezaan harga yang besar untuk makanan, pakaian, perkhidmatan dan keperluan lain mengikut lokasi.
Johor, Kuala Lumpur dan Selangor adalah negeri dengan kos paling tinggi manakala sara hidup lebih rendah di Kedah, Kelantan dan Perlis.
Majoriti isi rumah tidak mempunyai simpanan kewangan mencukupi dan tekanan kewangan dirasai oleh kebanyakan golongan yang bekerja tanpa mengira kumpulan umur dan lokasi.
Hutang dalam kalangan peminjam berpendapatan rendah kebanyakannya digunakan untuk menyokong penggunaan harian sama ada kenderaan bermotor atau pinjaman pembiayaan peribadi dan bukannya pelaburan jangka panjang untuk mengumpul kekayaan.
Ada banyak cadangan yang boleh kita sama-sama fikirkan untuk membantu dari segi jangka masa pendek dan jangka masa panjang.
Antaranya, memperluas perkhidmatan penjagaan kanak-kanak dan pengaturan kerja yang fleksibel untuk keluarga berpendapatan rendah (B40) bagi memudahkan ibu bapa bekerja mencari rezeki.
Selain itu, kita juga boleh mewujudkan aplikasi perancangan kewangan secara percuma yang boleh diakses untuk semua.
Dari segi tanggungjawab kerajaan pula, mereka perlu menjajarkan semula pelaburan dan insentif pengambilan pekerja ke arah penciptaan pekerjaan berkualiti tinggi di samping memperluas pendidikan awal kanak-kanak dan menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat dan peningkatan kemahiran.
Segala insentif perlu mengutamakan isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana dalam dasar dan program perumahan.
Kerajaan juga harus memperkukuh penyelarasan merentasi Kerajaan Persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam dasar dan perancangan perumahan. – UTUSAN
MOHAMMAD NOORIZZUDDIN NOOH, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)