SAUDARA PENGARANG,
KE manakah hala tuju buku-buku swaterbit kumpulan puisi dan antologi penulis-penulis anak bilis?
Pasaran buku di negara kita hari ini amat daif. Rakyat semakin kurang membaca disebabkan teknologi internet sehingga banyak syarikat penerbitan terpaksa ditutup. Ini menyebabkan buku-buku puisi terbiar di kedai-kedai buku.
Penulis anak bilis terpaksa mengeluarkan wang sendiri untuk menerbitkan antologi solo atau bersama. Ini demi menghimpunkan tulisan sastera yang mungkin pupus kerana tiada penajaan daripada kerajaan dan swasta.
Biarpun demikian, penulis anak bilis berjaya memperkembangkan budaya di luar negara kerana adanya penerbitan dari Indonesia, Singapura, Brunei dan Thailand melalui kerjasama dengan penulis negara-negara tersebut.
Sebagai penulis anak bilis, kami bangga kerana tulisan kami dapat dibaca oleh rakyat luar biarpun terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk menerbitkan antologi tersebut.
Kami berharap kerajaan dan Perpustakaan Negara dapat membeli buku-buku ini untuk diagih ke seluruh perpustakaan di sekolah dan universiti di seluruh negara.
Kementerian Pendidikan seharusnya menggalakkan atau mengadakan silibus khas berkaitan sastera terutama novel, cerpen dan puisi.
ABDUL AZIZ ALI, Ipoh, Perak