Bersahabat dengan alam secara simbiosis, akrab - Utusan Malaysia

Bersahabat dengan alam secara simbiosis, akrab

EGIATAN pembalakan secara sewenang-wenangnya merosakkan alam semula jadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PADA zaman sekarang, kita hidup dalam Anthropocene Era yang dicirikan dengan kegiatan manusia pada skala global yang membawa kepada perubahan iklim.

Umum sedia tahu, ini bukan sesuatu yang boleh dibanggakan. Oleh itu, untuk memastikan aktiviti manusia tidak terus merosakkan alam, kita harus melihat hubungan manusia dengan alam yang bersifat simbiosis, memandang alam sebagai sebuah daya yang perlu disantuni secara harmoni.

Pada zaman dahulu, daya semula jadi ini diberikan nama dan perwatakan dewa seperti Enzi (dewi bulan), Utu (dewa matahari), Dumuzid (dewa penggembalaan) dan macam-macam lagi.

Setiap dewa tersebut mewakili daya semula jadi yang berlainan – api, air, tanah, udara dan sebagainya.

Oleh itu, manusia perlu pandai berterima kasih dengan sebarang bentuk kurniaan atau ‘memujuk’ semula dewa-dewa tersebut yang menunjukkan kemarahan dalam bentuk bencana akibat kegiatan manusia.

Selain simbiosis, satu pandangan lain pula berteraskan hubungan yang lebih akrab. Contohnya, Islam tidak mengehadkan manusia dan alam sebagai dua entiti yang terpisah.

Sebaliknya berpendapat, Allah SWT menciptakan manusia sebagai alam kecil dan alam sebagai manusia besar.

Malah, sebahagian ulama mengumpamakan objek-objek bumi dengan organ-organ manusia seperti rerumput umpama rambut, sungai seperti saluran darah dan lautan umpama perut. Kita ialah alam dan alam ialah kita.

Memang dalam ilmu tauhid pun para ulama mentakrifkan alam sebagai apa sahaja selain Allah SWT. Justeru, manusia dan bumi kedua-duanya ialah alam.

Oleh itu, manusia hendaklah memelihara alam kerana itu seumpama menjaga dirinya sendiri dan kerosakan terhadap alam umpama menyakiti diri sendiri.

Bagaimanapun, ada pihak mengambil pendekatan berbeza seperti ahli falsafah Perancis, Rene Descartes. Menurut beliau, alam kosong daripada sebarang nilai dan kepentingan rohani.

Tidak ada semangat, dewa atau apa sahaja pun yang menghuni alam. Hanya manusia dikurniakan roh dan kehidupan dalam erti kata sebenar.

Maka alam boleh diperalatkan sewenang-wenangnya menurut kehendak manusia.

Sejak itu, tercetuslah Revolusi Industri 1.0 hingga 4.0 dan segala bentuk kegiatan manusia yang merubah iklim bumi dengan dahsyat. Jika diperhatikan, bagaimana kita memandang alam akan menentukan tabiat dalam menyantuninya.

Masyarakat kuno memandang alam sebagai ibu bapa seperti dalam tamadun Mesopotamia. Oleh itu, ia memupuk amalan berterima kasih dan memuja alam.

Masyarakat perindustrian moden pula memandang alam sebagai alat yang kosong daripada sebarang makna suci seperti diulas oleh ahli-ahli falsafah Barat moden.

Maka, wujud sikap rakus dalam memonopoli hasil bumi – membalak, melombong, menarah, menggali dan sebagainya kerana memandang alam sebagai tidak memiliki sebarang hak.

Sikap inilah yang menyumbang kepada bencana-bencana alam maha dahsyat seperti cuaca ekstrem, pencemaran, kepupusan, kesuntukan sumber makanan, pemanasan global dan bencana lain.

Kesimpulannya, untuk menangani isu perubahan iklim, kita tidak boleh mengehadkan usaha hanya kepada aspek teknikal (ekonomi hijau, pemuliharaan dan sebagainya).

Lebih daripada itu, kita harus giat mendidik dan menghidupkan semula fahaman yang memandang alam dengan pandangan akrab. Dengan itu, perjuangan hijau kita akan menjadi mapan.

LUQMAN HAKIM MD. ZIM, Pengasas Kelab Belia Prihatin

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya