Bawalah anak-anak lawat universiti

Bawalah anak-anak lawat universiti

PIHAK sekolah dan ibu bapa boleh menjadikan perpustakaan sebagai salah satu destinasi sekiranya membawa pelajar atau anak-anak ke kampus universiti.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SALAH satu inisiatif tempat lawatan kepada murid atau anak-anak yang boleh dipertimbangkan ialah universiti. Universiti merupakan satu kawasan yang warganya mengejar ilmu tidak mengira masa sama ada siang atau malam.

Saya percaya, anak-anak terutama pelajar sekolah akan memperoleh pengalaman baharu yang dapat memberi mereka motivasi untuk belajar bersungguh-sungguh bagi melanjutkan pengajian di menara gading.

Banyak tempat menarik yang boleh dilawati dalam kampus universiti. Salah satu daripadanya ialah perpustakaan. Perpustakaan merupakan nadi kepada sesebuah universiti dan ia berfungsi untuk menyokong kurikulum dan penyelidikan fakulti serta mahasiswa.

Saya percaya, pustakawan akan gembira dan berbesar hati untuk melayan dan menerangkan kemudahan yang terdapat dalam perpustakaan. Malah terdapat perpustakaan universiti yang membuka keahlian kepada pihak luar terutama pelajar sekolah.

Dalam perpustakaan, pelajar dapat melihat mahasiswa menyiapkan tugasan, tekun mengulang kaji pelajaran atau berbincang dengan rakan kuliah.

Pelajar juga boleh melihat koleksi buku, majalah dan jurnal dalam pelbagai bidang yang terdapat di rakrak dalam perpustakaan. Mereka juga boleh melawat fakulti atau sekolah yang terdapat di sesebuah kampus.

Mereka boleh melihat bagaimana mahasiswa mengikuti kuliah, menjalankan eksperimen di makmal, memerah otak di bilik tutorial, berbincang di gazebo dan melaksanakan rutin sebagai mahasiswa. Pelajar juga boleh berinteraksi dengan mahasiswa tentang pengalaman sebagai pelajar universiti yang akan memberi inspirasi kepada mereka untuk bergelar mahasiswa juga pada suatu hari kelak.

Mereka juga boleh melihat ruang pembelajaran yang yang lengkap dengan peralatan canggih dan terkini dengan pelbagai susun atur bagi memenuhi keperluan pelajar.

Semasa lawatan, pelajar sekolah boleh didedahkan kepada pemenang Nobel Laureate yang kebanyakannya merupakan ahli akademik universiti yang menjalankan penyelidikan berimpak besar dalam bidang tertentu.

Terdapat institut penyelidikan yang menawarkan lawatan bagi memberi peluang kepada pengunjung untuk melihat sendiri eksperimen atau kajian tertentu yang dilaksanakan.

Masjid yang terdapat dalam kampus juga merupakan sumber ilmu kepada warga kampusnya menarik untuk dilawati. Selain merupakan tempat beribadah, masjid universiti juga berperanan menganjurkan tazkirah, kelas agama, qiamullail dan program-program pengimarahan masjid.

Akhir sekali, jangan lepaskan peluang ke kedai penerbit universiti untuk melihat karya ilmiah yang dihasilkan oleh cendekiawan universiti.-UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. ABDUL HALIM ABDULLAH, Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN