SAUDARA PENGARANG,
KEPUTUSAN positif mesyuarat Kabinet pada 19 Januari lalu supaya pengguna lebuh raya diberi pilihan dalam kaedah pembayaran tol sama ada mahu menggunakan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID), Touch ‘n Go (TnG) atau SmartTAG disambut baik sebahagian besar pengguna lebuh raya.
Isu panas membabitkan penggunaan RFID mula menarik perhatian ramai apabila perkhidmatan tersebut tidak berfungsi dengan baik sejak digunakan di Lebuh Raya Utara-Selatan bermula 15 Januari lalu melibatkan 83 plaza tol.
Masalah itu menyebabkan kesesakan teruk terutama di Plaza Tol Sungai Besi, Kuala Lumpur. Ia menimbulkan kemarahan orang ramai yang beranggapan belum masanya lagi untuk memansuhkan penggunaan TnG dan SmartTAG secara drastik kerana sistem RFID belum begitu stabil apatah lagi proses pendaftaran agak merumitkan sehingga menyusahkan rakyat.
Malah premis-premis yang menawarkan kemudahan pemasangan sistem tersebut agak sukar ditemui pengguna.
RFID ialah satu teknologi di mana data digital yang dikodkan dalam tag RFID dikesan oleh alat pengimbas melalui gelombang radio.
Cara RFID berfungsi adalah hampir sama dengan sistem kod bar yang digunakan di kaunter bayaran premis perniagaan.
Sememangnya tidak dinafikan penggunaan RFID akan memberi banyak kelebihan pada masa hadapan. Rakyat secara umumnya tidak menolak teknologi dan pembaharuan jika ia membantu memudahkan urusan.
Namun, pada masa sama perlu diakui tidak semua faham menggunakan teknologi baharu jika tiada pendedahan atau hebahan meluas mengenainya.
Justeru, pengendali lebuh raya perlu lebih agresif mempromosi perkhidmatan ini melalui media massa sama ada media cetak mahupun elektronik serta media sosial.
Pengguna tidak harus dipersalahkan sekiranya mereka enggan menerima teknologi tersebut jika tiada pendedahan meluas mengenainya dilakukan.
Dalam pada itu, rungutan orang ramai mengenai pelekat RFID dijual dengan harga RM35 sekeping perlu diambil perhatian serius pihak yang bertanggungjawab.
Harga tersebut dilihat cukup mahal malah sesetengah pihak mendakwa kos pelekat RFID pasif seperti yang digunakan di negara ini sebenarnya di bawah RM3 sekeping.
Isu harga pelekat ini menjadi lebih rumit apabila pengguna perlu membeli pelekat berasingan bagi setiap kenderaan dimiliki berbanding penggunaan kad TnG yang boleh digunakan di mana-mana tanpa mengira berapa bilangan kenderaan bagi setiap isi rumah.
Mengambil kira aspek kewangan isi rumah rakyat terutama golongan miskin bandar dan keadaan ekonomi yang belum pulih sepenuhnya, ditambah kenaikan harga barang maka syor supaya pelekat tersebut diberikan secara percuma perlu diterima secara positif.
Ia tidak akan merugikan pihak pengendali lebuh raya memandangkan mereka masih memperoleh keuntungan melalui pembayaran tol melibatkan kira-kira sejuta kenderaan sehari bagi menampung kos pemasangan tersebut.
Pada masa sama, pengguna SmartTAG yang ingin beralih kepada RFID wajar diberikan rebat atau ganti rugi pemulangan alat tersebut bagi tujuan pelupusan memandangkan harga alat tersebut agak mahal iaitu mencecah lebih RM100 seunit.
MOHD. SALLEH OSMAN, Presint 16, Putrajaya










