KEWUJUDAN pusat data global di Malaysia membuka peluang besar kepada ekonomi negara, namun pertumbuhan kelestarian industri ini bergantung kepada ketersediaan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
Malaysia kini berada dalam fasa perkembangan pesat sejajar dengan pertumbuhan industri tersebut serta sumbangannya kepada ekonomi.
Dari sudut infrastruktur fizikal, termasuk ketersediaan tanah, lokasi strategik, bekalan elektrik, kesinambungan internet, rangkaian kabel dasar laut serta kemudahan sokongan lain, negara ini dilihat berada pada tahap kesiapsiagaan yang memberangsangkan.
Sehubungan itu, universiti, institut latihan dan penyedia program profesional kini dituntut melahirkan bakat digital yang mampu memenuhi keperluan operasi serta pengurusan pusat data berskala besar.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Maklumat, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Selangor Kampus Puncak Perdana, Prof. Madya Dr. Muhamad Khairulnizam Zaini berkata, ketersediaan tenaga kerja mahir merupakan antara faktor penting dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai hab pusat data serantau.
Menurut beliau, walaupun Malaysia mempunyai ramai graduan dalam bidang teknologi maklumat (IT), tidak semua memiliki kepakaran khusus dalam operasi pusat data, khususnya bagi fasiliti berskala besar.
“Kita mempunyai graduan IT yang ramai, namun kepakaran mendalam dalam pengoperasian pusat data moden masih terhad.
“Ada yang memiliki pengetahuan asas, tetapi kemahiran teknikal yang lebih spesifik masih perlu diperkukuh,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, Malaysia kini berada dalam fasa transisi kritikal sejajar dengan peranan negara sebagai destinasi pembangunan pusat data skala besar.
“Pelbagai kursus berasaskan kemahiran mula diperkenalkan bagi melengkapkan tenaga kerja tempatan dengan kepakaran yang relevan,” ujarnya.
Mengulas jurang antara graduan dan keperluan industri, beliau berkata, jurang tersebut wujud, namun lebih bersifat jurang penyesuaian.
“Situasi ini lazim bagi industri yang berkembang pesat.
“Universiti berperanan menyediakan pengetahuan asas menerusi kursus seperti sains komputer dan kejuruteraan, yang sememangnya penting.
“Bagaimanapun, industri pusat data memerlukan pendedahan kepada teknologi yang sangat spesifik dan sentiasa berubah. Dalam sesetengah keadaan, teknologi yang diajar boleh menjadi usang dalam tempoh singkat,” katanya.
Justeru itu, Muhamad Khairulnizam menegaskan jurang tersebut perlu dikecilkan melalui pendekatan lebih praktikal, termasuk penawaran persijilan profesional tambahan.
“Selain silibus asas universiti, pelajar boleh digalakkan mengambil persijilan daripada vendor teknologi utama seperti Amazon Web Services (AWS), Google dan Microsoft.
“Pendekatan ini membolehkan graduan menguasai pengetahuan asas serta memperoleh kemahiran praktikal yang boleh terus diaplikasikan dalam industri.
“Pada masa sama, elemen pembelajaran sepanjang hayat amat penting bagi memastikan tenaga kerja kekal relevan dengan perkembangan teknologi,” jelasnya.
Beliau turut melihat perkembangan positif apabila universiti mula menjalinkan kerjasama dengan pemain industri.
“Banyak institusi kini mengintegrasikan modul industri yang lebih praktikal, termasuk program bersama dan micro-credential,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, impak negara ini menjadi destinasi utama pembangunan pusat data di Asia Tenggara terhadap pasaran tempatan sememangnya besar, namun berlaku secara berperingkat.
Menurutnya, kesan tersebut tidak berlaku serentak, sebaliknya mengikut fasa pembangunan, di mana pada peringkat pembinaan, peluang pekerjaan banyak tertumpu kepada kontraktor serta sektor kejuruteraan, kerja awam dan elektrikal.
“Bagaimanapun, apabila pusat data mula beroperasi, keperluan tenaga kerja di sesuatu lokasi lazimnya tidak terlalu besar memandangkan pusat data moden sangat bergantung kepada automasi dan teknologi terkini,” jelasnya. – UTUSAN









