SAUDARA PENGARANG,
KEJADIAN banjir besar baru-baru ini menimbulkan banyak persoalan dan membuka mata serta minda rakyat. Walaupun ada pihak memberi jawapan mudah dengan mengatakan kadar hujan lebat bersamaan sebulan hujan serta disebabkan tiupan angin monsun serta wujud kawasan bertekanan rendah menjadi punca banjir, namun masih banyak faktor menyumbang kepada bencana alam itu.
Di kawasan bandar, hujan lebat dan berterusan beberapa hari membawa sampah sarap tetapi di kawasan kampung dan berdekatan hutan pula, banjir membawa timbunan kayu balak, sisa kayu-kayan seperti berlaku di Sungai Telemong, Bentong, Pahang.
Banjir menyebabkan selut dan pasir tebal menutupi kawasan perumahan dan jalan raya terutama di sepanjang laluan air seperti di Bentong, Karak dan Lanchang. Berdasarkan kesan banjir itu, berkemungkinan berlaku penebangan hutan secara besar- besaran dan mungkin juga hutan diteroka secara haram. Hal ini tidak boleh disangkal lagi.
Kerajaan negeri perlu menyiasat kerja-kerja penebangan kayu balak sama ada mengikut garis panduan dan mematuhi undang-undang berkaitan alam sekitar ditetapkan.
Selain itu, impak banjir di Telemong turut ‘tempias’ di Jelebu yang mana lokasinya berhampiran Bentong dan Karak. Oleh itu, kerajaan negeri Pahang dan Negeri Sembilan perlu menyiasat lokasi penebangan balak dan penerokaan hutan yang dilakukan secara haram.
Bagi saya, impak kesan banjir di Pahang kali ini sangat luar biasa kerana bukan sahaja timbunan sampah sarap tetapi pasir, selut dan kayu juga kelihatan.
Disebabkan bencana ini, persimpangan Lebuh Raya Kuala Lumpur – Karak ditutupi lapisan pasir tebal sehingga menyebabkan laluan itu ditutup, sementara kawasan penempatan penduduk dan kawasan sekitar Bentong, Karak, Mentakab dan Lanchang menerima kesan sama.
Walaupun kita mengetahui hasil hutan terutama balak merupakan punca pendapatan kerajaan negeri, namun ia masih perlu dilakukan secara berpada-pada. Jadi, rakyat berhak tahu siapakah dalang di sebalik kerakusan ini yang menyebabkan timbunan kayu balak menjadi punca banjir.
ABDUL HAMID, Temerloh, Pahang