SAUDARA PENGARANG,
KITA bersolidariti dengan pekerja-pekerja perkhidmatan penghantaran sebuah syarikat e-dagang antarabangsa yang mogok baru-baru ini bagi membantah tindakan majikan yang menjejaskan pendapatan mereka.
Menurut laporan berita, pekerja-pekerja terbabit melancarkan mogok kerana tidak berpuas hati dengan keputusan sehala daripada pihak syarikat yang merugikan pekerja penghantaran menggunakan van.
Pihak syarikat hanya mengeluarkan notis mengenai struktur bayaran upah yang terbaharu sehari sebelum ia berkuat kuasa tanpa sebarang rundingan dengan pekerja-pekerja berkenaan terlebih dahulu.
Kontrak baharu yang dikeluarkan kepada pekerja-pekerja tidak lagi memberikan bayaran tetap setiap hari sebaliknya hanya komisen berdasarkan bilangan bungkusan yang dihantar. Ini menyebabkan pendapatan pekerja berkenaan menyusut dengan hebatnya dan semestinya akan membebankan kehidupan mereka.
Tindakan syarikat mengubah syarat kontrak dan skim pembayaran secara sehala tanpa berunding dengan pekerja merupakan sesuatu yang tidak bertanggungjawab dan tidak berperikemanusiaan.
Pekerja-pekerja penghantaran yang menyumbangkan titik peluh mereka tidak harus dilayan sebagai barangan yang boleh diubah harganya sesuka hati.
Pihak syarikat digesa mendengar suara tuntutan pekerja-pekerja penghantaran yang bekerja dengannya dan mengekalkan bayaran tetap harian kepada semua kru penghantaran menggunakan van.
Kemelut yang dihadapi oleh pekerja-pekerja penghantaran ini turut menunjukkan masalah besar semua pekerja ekonomi gig yang harus diselesaikan, iaitu tiada perlindungan hak pekerja di bawah undang-undang sedia ada.
Pekerja ekonomi gig biasanya dianggap sebagai individu atau kontraktor bebas yang bekerja sendiri, maka tidak dilindungi di bawah undang-undang buruh sedia ada dan menyebabkan masalah tiada jaminan kerja.
Kita perlukan pembaharuan undang-undang agar mengiktiraf pekerja ekonomi gig dan melindungi hak semua orang yang bekerja mencari nafkah.
CHOO CHON KAI, Kuala Lumpur.