SAUDARA PENGARANG,
SUDAH tiba masanya kita memilih parti politik yang akan mengenakan cukai ke atas golongan sangat kaya dan menggunakan wang itu untuk meningkatkan penjagaan kesihatan awam, membina rumah mampu milik dan meningkatkan gaji minimum.
Organisasi kebajikan, Oxfam International mendedahkan, bilionair Asia meningkatkan kekayaan mereka sebanyak 74 peratus manakala 148 juta orang lain di rantau itu dihimpit kemiskinan sejak bermula wabak Covid-19.
Satu-satunya penyelesaian menyedihkan yang orang ramai boleh bercakap pada masa sekarang adalah mengeluarkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mereka sendiri.
Kita hidup dalam keadaan terdesak dan jelas majoriti orang terhimpit ke satu sudut manakala golongan sangat kaya terus bermaharajalela meningkatkan keuntungan mereka.
Para majikan pula berjuang habis-habisan untuk memastikan gaji dan faedah kebajikan pekerja ditekan ke paras rendah.
Parti-parti politik arus perdana masih percaya dan menganuti idea-idea lapuk seperti teori trickle-down effect dan keagungan dasar kapitalis neoliberal (pasaran bebas).
Oleh itu, sudah tiba masanya kita memilih parti yang tidak menari mengikut kepentingan segelintir golongan kaya. Walaupun 40 peratus daripada ekonomi kita dikawal syarikat milik kerajaan (GLC), namun ia tidak mempunyai misi untuk membasmi kemiskinan dan mengurangkan jurang pendapatan.
Laporan Oxfam International mencadangkan beberapa penyelesaian seperti peningkatan cukai ke atas individu dan syarikat serta pelaburan lebih besar dalam perkhidmatan awam dan perlindungan sosial.
Politik dan polisi negara kita cenderung dipesongkan oleh persoalan diskriminasi kaum padahal diskriminasi disebabkan jurang antara kaya dengan miskin adalah lebih parah.
S. ARUTCHELVAN, Kuala Lumpur










