SAUDARA PENGARANG,
BARU-BARU ini, saya terbaca ciapan oleh ZareenH_s di laman Twitter mengenai syarikat telekomunikasi (telco) di Malaysia yang dilihat semakin tidak mengendahkan kualiti rangkaian telefon bimbit serta internet.
Saya tertanya-tanya dengan sikap syarikat-syarikat telco ini yang secara jelas terbukti sentiasa gagal untuk menyediakan perkhidmatan setimpal dengan kadar terpaksa ditanggung dan dibayar pengguna.
Ciapan yang mendapat sebanyak 13,600 ulangan dan 17,300 tanda suka itu menimbulkan persoalan jika syarikat-syarikat telco di negara ini sebenarnya terlibat dalam sebarang perbuatan salah laku sehingga mereka perlu mengecilkan perbelanjaan bagi perkhidmatan sendiri.
Tidak ada salahnya untuk mana-mana pihak mempertikaikan ciapan tersebut malah hampir kesemua yang berinteraksi meluahkan rasa kecewa berdasarkan pengalaman mereka. Saya sendiri turut kecewa dengan rangkaian internet dan telefon bimbit yang sering terganggu.
Kadangkala semasa berbual menerusi telefon juga boleh (talian telefon) terputus manakala untuk muat naik gambar atau video pula mengambil masa sangat lama. Jika ditanya pada jabatan perkhidmatan pelanggan, mereka akan memberikan 1,001 alasan dan sehingga hari ini tiada penyelesaian.
Jika benar rangkaian ini menjadi perlahan kerana kita sedang dalam proses untuk peralihan 4G ke 5G, mengapa tidak dilaksana dengan cepat dan mempertimbangkan inisiatif supaya rakyat tidak perlu melalui kesusahan ini?
Ada dalam kalangan syarikat telco di negara ini mengambil kadar bayaran yang tinggi. Jadi, adakah dengan harga itu, kami layak untuk menerima rangkaian yang sangat teruk dan menyusahkan?
JULIANA, Sri Hartamas