Guna rizab negara bantu rakyat - Utusan Malaysia

Guna rizab negara bantu rakyat

USIA lanjut juga akan menyukarkan proses mencari kerja kerana tenaga pun semakin berkurangan. – GAMBAR HIASAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BARU-BARU ini, ada kajian mendapati 97.1 peratus atau 21,524 individu memerlukan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) i-Citra RM10,000 secara sekali bayar bagi meringankan beban kehidupan mereka ketika ini.

Dapatan itu diperoleh melalui Kajian Awam Pengeluaran KWSP i-Citra dibuat Pergerakan Pemuda UMNO dari 11 hingga 12 Januari lalu menggunakan kaedah bancian secara maya.

Bagi saya, kaedah lain selain membenarkan rakyat menggunakan wang simpanan mereka sendiri khususnya daripada KWSP perlu dilakukan.

Antara langkah sepatutnya diberi pertimbangan oleh kerajaan adalah menggunakan wang rizab negara kita yang besar ketika ini bagi membantu mereka yang terjejas pendapatan akibat penularan virus Covid-19.

Walaupun kerajaan mempunyai pertimbangan lebih penting untuk menggunakan wang rizab negara, namun kebajikan dan keperluan rakyat ketika ini perlu diberi keutamaan.

Rizab negara yang disimpan selama bertahun-tahun ini harus dimanfaatkan untuk rakyat yang memerlukan bantuan pada waktu terdesak ini, barulah mereka sedar kerajaan benar-benar prihatin dan memahami segala kesukaran yang terpaksa dilalui sekarang.

Perlu diketahui, wang simpanan persaraan KWSP adalah penting untuk kegunaan rakyat selepas mereka bersara kelak. Kita tidak tahu selama mana kita akan hidup selepas bersara nanti.

Adalah penting untuk kita ketahui dengan kemajuan dunia sains dan teknologi perubatan, umur manusia semakin lama semakin panjang.

Pemanjangan had usia manusia ini menuntut semua pihak untuk lebih bersiap sedia bagi menghadapi segala kemungkinan luar jangka terutama dari aspek kewangan. Apabila usia meningkat, lebih banyak wang diperlukan dalam kehidupan kita.

Ini kerana peningkatan usia manusia akan memberi kesan terhadap kehidupan seharian mereka terutama dari aspek kesihatan.

Usia lanjut juga akan menyukarkan proses mencari kerja kerana tenaga pun semakin berkurangan. Ini akan membantutkan lagi usaha untuk mencari sumber pendapatan lain apabila kita semua sudah sampai pada usia bersara kelak.

Oleh yang demikian, adalah penting supaya rakyat memiliki sumber kewangan yang benar-benar kukuh bagi menampung kehidupan mereka selepas bersara.

Cadangan pelbagai pihak supaya kerajaan membenarkan rakyat mengeluarkan wang simpanan persaraan mereka dari KWSP perlu diteliti dengan baik sebelum sebarang kata putus diberikan.

Apa-apa jua keputusan yang ingin diambil adalah penting supaya simpanan hari tua setiap rakyat tidak terjejas sehingga boleh membawa kesan terhadap kehidupan mereka di kemudian hari.

Isu simpanan wang KWSP adalah sensitif kerana ia melibatkan simpanan hari tua. Kita tidak boleh membiarkan rakyat kita terkapai-kapai dari aspek kewangan pada usia tua mereka nanti.

Jika kita masih ingin membenarkan pengeluaran wang simpanan KWSP, adakah kerajaan sanggup menghulurkan bantuan kebajikan bagi membantu rakyat yang tidak memiliki wang simpanan mencukupi pada waktu tua nanti?

Pada masa sama, tidak wajar mana-mana pihak termasuk ahli politik menjadikan isu ini sebagai mainan politik.

Setiap pihak termasuk ahli politik harus memikirkan masa depan rakyat jika mereka benar-benar sayangkan rakyat.

PROFESOR MADYA DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN