SAUDARA PENGARANG,
KEJADIAN kereta api tidak berhenti di Hentian Kuala Gris, Kelantan baru-baru ini hingga menyebabkan kira- kira 100 pelajar tidak hadir ke sekolah pada hari pertama 2022 mendapat perhatian Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sehingga mereka menubuhkan panel khas untuk membuat siasatan terperinci dalam semua aspek termasuk operasi, teknikal serta corak larian kereta api selain menggantung empat kakitangan.
Bagi saya yang pernah menggunakan pengangkutan awam seperti bas, teksi dan sebagainya, kejadian tersebut tidak perlu dipanjangkan dan dibawa ke pihak atasan. Biasanya, penumpang tidak ambil kisah atas perkara remeh-temeh berkenaan kerana mereka sudah lali dan tidak berminat untuk melapor dan memanjangkan kepada pihak berkuasa.
Walaupun begitu, kecuaian yang melampau seperti memandu laju, menggunakan telefon bimbit ketika memandu, memotong secara berbahaya yang boleh mengundang kemalangan wajar diambil berat oleh penumpang dengan melaporkan segera kepada pihak berkuasa.
Berhubung kejadian sesi persekolahan secara bersemuka pelajar dari Kampung Kuala Gris terbantut selepas kereta api tidak berhenti seperti biasa di Hentian Kuala Gris tidak perlulah dilihat terlalu serius memandangkan ia tidak melibatkan kemalangan.
Cukuplah sekadar memberi amaran dan peringatan kepada kakitangan terlibat kerana mungkin mereka terlupa bahawa sesi persekolahan sudah bermula disebabkan cuti sekolah panjang sebelum itu.
Janganlah kerana sedikit kecuaian menyebabkan kerja mereka digantung dan dikenakan tindakan tatatertib. Anggaplah mereka sebahagian kakitangan yang membawa keuntungan kepada KTMB dan telah menaikkan imej syarikat yang diperbadankan melalui Kementerian Kewangan itu.
Ambillah tindakan rasional dan pada masa sama pastikan pekerja mendapat hak sewajarnya terutamanya dalam aspek kebajikan dan kemanusiaan.
ABDUL HAMID, Temerloh, Pahang